Trafik penumpang udara susut Jan 2021

KUALA LUMPUR, 3 MAC – Aliran trafik penumpang udara susut pada Januari 2021 berbanding paras sebelum penularan pandemik COVID-19 (Januari 2019) dan Disember 2020, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Sebaliknya, permintaan kargo udara global pada Januari 2021 telah kembali ke paras pra-COVID-19 (Januari 2019) untuk pertama kalinya sejak krisis itu bermula.

Bagi permintaan penumpang udara, jumlah bagi Januari 2021 (diukur dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer atau RPK) terbukti berkurangan sebanyak 72 peratus berbanding Januari 2019 dan lebih buruk berbanding penurunan 69.7 peratus tahun ke tahun pada Disember 2020.

“Permulaan 2021 jauh lebih buruk daripada akhir 2020 dan ini membawa banyak maksud. Walaupun program-program vaksinasi COVID-19 semakin giat dilaksanakan, kewujudan varian baharu virus itu sebaliknya menyebabkan kerajaan meningkatkan lagi sekatan perjalanan.

“Tempoh sekatan yang tidak pasti ini juga memberi impak terhadap perjalanan udara di masa depan. Jumlah tempahan akan datang bagi Februari tahun ini membabitkan perjalanan musim panas di Hemisfera Utara, juga susut 78 peratus di bawah paras yang dicatatkan pada Februari 2019,” kata Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac, dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut IATA, perbandingan antara prestasi bulanan 2021 dan 2020 itu memaparkan impak ketara akibat COVID-19 dengan perbandingan sehingga Januari 2019 yang berdasarkan aliran permintaan biasa.

Jumlah permintaan domestik berkurangan 47.4 peratus berbanding paras dalam tempoh sebelum krisis (Januari 2019) dengan sebahagian besar penurunan itu disebabkan oleh sekatan pergerakan perjalanan lebih ketat di China ketika musim cuti sambutan Tahun Baharu. – Bernama