Monday, October 3, 2022
23.6 C
Brunei

Tragedi beri Soraida inspirasi untuk lindungi gajah

-

BANGKOK – Lebih dua dekad yang lalu, seekor gajah Asia bernama Motala terpijak periuk api dan menyebabkan kaki kiri depan cedera parah. Gajah itu terkial-kial selama tiga hari sebelum diselamatkan oleh sebuah hospital khas di Thailand.

Dipasangkan dengan kaki palsu, gajah itu telah dijaga selama lebih 20 tahun. Setiap pagi dan petang, Motala yang berusia 61 tahun berjalan di sekitar halaman di luar khemahnya untuk seketika.

Jauh di dalam hutan wilayah Lampang di utara Thailand, hospital itu yang dinamakan Friends of the Asian Elephant (FAE), merupakan hospital pertama di dunia yang didedikasikan untuk merawat gajah yang cedera.

Sejak penubuhannya pada 1993, hospital itu telah menyelamatkan lebih 5,000 ekor gajah dengan penyakit yang berbeza daripada cirit-birit kepada penyakit mata dan kecederaan akibat kemalangan kereta atau letupan lombong.

Sebelum Hari Gajah Sedunia, Soraida Salwala, 66, yang telah mendedikasikan separuh hidupnya untuk menyelamatkan haiwan gergasi itu, mengongsikan kisah tentang persahabatan dengan gajah.

Soraida Salwala memeriksa seekor gajah yang cedera di hospital FAE di Lampang, Thailand. – Xinhua
Soraida menunjukkan kaki palsu yang dibuat untuk gajah. – Xinhua

Kelihatan seorang doktor haiwan merawat gajah yang cedera. – Xinhua
Pemandangan daripada udara menunjukkan hospital Friends of the Asian Elephant di Lampang, Thailand. – Xinhua

“Hospital adalah rumah saya, dan gajah adalah anak saya,” katanya kepada Xinhua semasa temu bual.

Kisahnya bermula ketika dia berumur lapan tahun, di mana dia terserempak dengan seekor gajah yang cedera terbaring di tepi jalan akibat dilanggar lori.

“Saya menangis dan merayu kepada ayah saya untuk membawanya ke hospital, tetapi dia memberitahu saya ia terlalu besar untuk diterima, dan tiada siapa yang tahu bagaimana untuk menyelamatkannya. Akhirnya gajah itu mati,” kata Soraida sambil mengimbau dengan kesedihan.

Banyak tragedi, seperti ini, memberi inspirasi kepadanya untuk membina sebuah hospital khusus dalam menyelamatkan gajah yang cedera.

Soraida membawa walkie-talkie merah di dalam poket sepanjang masa. Apabila seekor gajah merungus dari jauh, dia menggunakan walkie-talkie, berkata, “Mosha, ini mama Soraida, tenanglah.”

Memandangkan bertahun-tahun persahabatan, ikatan istimewa telah terjalin antara Soraida dan gajahnya. Dia berkata gajah tersebut boleh memahami kata-katanya dan kadang-kadang bertindak balas dengan menghentak tanah dengan kakinya.

Mosha kehilangan kaki kanan depan ketika dia baru berusia tujuh bulan selepas terpijak periuk api.

Dua tahun kemudian, doktor memasangkan kaki tiruan pertamanya, menjadikannya gajah pertama di dunia yang berjalan dengan kaki palsu.

Semasa ia membesar, Mosha menjalani lebih daripada 10 pembedahan prostetik untuk menyesuaikan diri dengan berat badannya. Kini Mosha berusia 17 tahun, menjadi sangat kuat dan hanya berkelakuan agak pemarah apabila memasuki usia remaja.

“Mosha seekor gajah betina yang nakal,” kata Soraida sambil menghampiri dan membelai Mosha lembut. Selepas berbisik kepadanya, Mosha beransur tenang dan menyandarkan kepalanya pada Soraida.

Ketika ini, sembilan ekor gajah sedang menerima rawatan di sini, di mana lima daripadanya adalah penghuni tetap. Banyak gajah telah diberi ke hospital kerana pemiliknya tidak mampu untuk menjaganya.

Menjaga gajah memerlukan kos yang tinggi. Hospital itu membelanjakan kira-kira 800,000 baht (kira-kira AS$22,617) setiap bulan, dengan perbelanjaannya bergantung semata-mata pada derma masyarakat.

Soraida berkata hospital itu telah bergelut untuk memenuhi keperluan hidup selama lebih sedekad, dan hampir ditutup lima tahun lalu kerana kekurangan dana.

Dalam masa yang paling sukar, hanya 50 baht tertinggal dalam akaun bank.

Dia terpaksa mengumpul wang di media sosial. Dengan laporan media, derma mencurah-curah, dan 40 juta baht telah dikumpulkan dalam beberapa hari sahaja.

Di samping itu, lebih ramai doktor haiwan diperlukan untuk hospital itu, yang kini hanya mempunyai seorang doktor haiwan, Cruetong Kayan.

Doktor haiwan berusia 41 tahun itu telah bekerja di sini selama 16 tahun dan telah menyelamatkan lebih daripada 3,600 ekor gajah.

Dia menjalani latihan di sini ketika dia seorang pelajar perubatan, selepas itu dia memutuskan untuk bekerja dengan Soraida dan menumpukan dirinya untuk menyelamatkan gajah.

Soraida mengakui tidak semua orang sanggup bekerja di hutan yang jauh dari kawasan bandar yang sibuk, dan COVID menyukarkan operasi hospital.

Hospital itu kini mempunyai 17 kakitangan pemastautin, menurun dari sebelum wabak.

“Pandemik telah meletakkan semua orang di bawah tekanan ekonomi, dan begitu juga penderma kami,” kata Soraida, berharap dapat mengurangkan kos untuk mengekalkan hospital untuk masa yang lebih lama.

Selama bertahun-tahun, Soraida telah menerima ugutan bunuh kerana menentang penyeludupan gajah, tetapi ini tidak pernah mengubah fikirannya.

“Semua yang telah dilakukan oleh hospital selama hampir 30 tahun adalah untuk meningkatkan kehidupan gajah dan orang di sekelilingnya,” katanya.

“Gajah adalah simbol Thailand,” kata Soraida sambil berharap kerajaan Thailand akan menubuhkan tabung gajah untuk membantu gajah dan pemiliknya apabila mereka memerlukan. – Xinhua

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik keempat

SEOUL, 2 OKT – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik kelmarin, menjadikan keseluruhan empat pelancaran minggu ini oleh negara bersenjata nuklear itu. Ujian itu...
- Advertisment -