Monday, October 7, 2024
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tragedi Challenger dalam ingatan

    TIGA dekad sudah berlalu, namun ingatan Bill Gregory, 59, terhadap peristiwa yang berlaku pada 28 Januari 1986 itu masih segar. Dia yang ketika itu menjalani latihan bersama skuadron United State Air Force di Montgomery, Alabama, Amerika Syarikat (AS) sedang menonton televisyen bersama rakan-rakan lain bagi menyaksikan siaran langsung pelancaran kapal angkasa Challenger ke angkasa lepas. “Saya menyangkakan semua akan berjalan lancar seperti yang diharapkan. Bagaimanapun, apabila kapal angkasa itu tiba-tiba meletup di udara, kami sangat terkejut,” cerita Gregory.

    Pada 28 Januari yang lalu menandakan genapnya 31 tahun kejadian letupan kapal angkasa Challenger. Kapal angkasa itu meletup pada altitud 14,000 meter, hanya 73 saat selepas dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy (KSC) di Cape Canaveral, Florida, AS sekali gus menyebabkan tujuh angkasawan di dalamnya terbunuh.

    Mangsa termasuklah Ellison Onizuka, Gregory Jarvis, Judy Resnik, Michael J. Smith, Dick Scobee, Ron McNair serta guru wanita dari New Hampshire, Sharon Christa McAuliffe. Mengimbau kembali kejadian itu, Gregory berkata, kru Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), ahli keluarga dan sahabat handai yang masih berdiri sambil melambai ke arah kapal angkasa itu tiba-tiba dilihat terpaku membisu.

    “Masing-masing mendongak ke ruang udara. Perasaan terkejut, berdebar dan takut bercampur baur seolah-olah tidak menyangka sedang menonton adegan ngeri di depan mata masing-masing. Seketika kemudian, mereka dilihat menangis di hadapan kamera,” ujarnya seperti dipetik portal Arizona Central.

    Komponen beku

    Menurut Gregory, ingatannya terus tertumpu kepada McAuliffe, orang awam terlatih pertama yang turut serta dalam misi ke angkasa lepas tersebut. “Saya masih ingat kamera difokuskan ke arah wajah tua bapa McAuliffe. Dia terpinga-pinga kerana tidak faham apa yang berlaku di hadapan matanya. “Momen itu begitu menyayat hati dan tidak dapat dilupakan sehingga ke saat ini,” katanya.

    Memori mangsa yang terdiri daripada Ellison Onizuka, Gregory Jarvis, Judy Resnik, Michael J. Smith, Dick Scobee, Ron McNair serta guru wanita dari New Hampshire, Sharon Christa McAuliffe.
    Memori mangsa yang terdiri daripada Ellison Onizuka, Gregory Jarvis, Judy Resnik, Michael J. Smith, Dick Scobee, Ron McNair serta guru wanita dari New Hampshire, Sharon Christa McAuliffe.

    Challenger Aftermath *

    Tragedi Challenger meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada rakyat AS khususnya. Tidak hanya mereka yang berada di tempat kejadian, penonton yang menyaksikan pelancaran Challenger dari kediaman masing-masing turut merasai detik cemas itu. Seorang jurutera mekanikal NASA, Elmer Andrew Thomas yang ketika itu berusia 69 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung ketika melihat siaran langsung Challenger meletup dari rumahnya.

    Sebelum tragedi hitam itu berlaku, Challenger dijadualkan berlepas dari KSC pada 22 Januari 1986, namun misinya terpaksa ditunda beberapa kali atas pelbagai faktor termasuk masalah teknikal dan cuaca buruk. “Beberapa komponen tertentu mungkin tidak dapat berfungsi akibat membeku. Jika mereka (NASA) mendengar cakap saya dan menunggu sehingga perubahan cuaca berlaku, kemalangan ini mungkin tidak akan terjadi,” kata salah seorang jurutera NASA, Bob Ebeling.

    Ebeling yang merupakan salah seorang daripada empat jurutera yang bekerja dengan syarikat kontraktor NASA, Morton Thiokol, memberi amaran dan meramalkan kapal angkasa itu akan meletup sekiranya misi tersebut tetap diteruskan dalam cuaca buruk. Keadaan itulah yang berlaku pada hari kejadian. Malam sebelum pelancaran, amaran telah dikeluarkan kepada NASA di KSC.

    Ebeling dan jurutera lain meminta supaya misi pelancaran kapal angkasa Challenger dibatalkan, namun ia tidak diendahkan oleh NASA kerana menyifatkan misi itu sudah lama tertangguh. Pagi 28 Januari 1986, jurutera serta pakar-pakar yang bertugas membuat tinjauan seperti biasa. Semuanya dalam keadaan normal melainkan beberapa bahagian bawah badan kapal angkasa yang diselaputi ais.

    Kapal angkasa itu meletup pada altitud 14,000 meter, hanya 73 saat selepas dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy (KSC) di Cape Canaveral, Florida, AS sekali gus menyebabkan tujuh angkasawan di dalamnya terbunuh.
    Kapal angkasa itu meletup pada altitud 14,000 meter, hanya 73 saat selepas dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy (KSC) di Cape Canaveral, Florida, AS sekali gus menyebabkan tujuh angkasawan di dalamnya terbunuh.
    Challenger dijadualkan berlepas dari KSC pada 22 Januari 1986, namun misinya terpaksa ditunda beberapa kali atas pelbagai faktor termasuk masalah teknikal dan cuaca buruk.
    Challenger dijadualkan berlepas dari KSC pada 22 Januari 1986, namun misinya terpaksa ditunda beberapa kali atas pelbagai faktor termasuk masalah teknikal dan cuaca buruk.

    Bebola api

    Langkah keselamatan diambil dengan mencairkan bahagian tersebut sehingga masa pelancaran terpaksa ditunda lagi dua jam berikutnya. Bagaimanapun, kira-kira pukul 11.39 pagi, kapal angkasa berkenaan dilancarkan dan dalam tempoh 73 saat di udara, Challenger meletup tanpa amaran. Kapal angkasa itu jatuh bersepai di Lautan Atlantik dan operasi mencari serta menyelamat dijalankan dalam tempoh 24 jam selepas kejadian bagi memastikan semua serpihannya jatuh ke Bumi.

    Ebeling tidak dapat memaafkan dirinya di atas tragedi itu dan hidup dengan rasa bersalah selama 30 tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mac tahun lalu. Dia meninggal dunia pada usia 89 tahun di Brigham City, Utah. “Sejak kemalangan itu, saya dibelenggu rasa bersalah dan hidup di bawah tekanan melampau. Saya sering mengalami mimpi buruk dan asyik menangis setiap hari,” katanya dalam satu wawancara bersama The Houston Chronicle pada tahun 1987.

    Presiden AS ketika itu, Ronald Reagan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Khas yang turut dianggotai angkasawan pertama berjalan di bulan, Neil Armstrong untuk menyiasat punca kejadian. Hasil siasatan mendapati, getah O-Ring yang menghubungkan tangki minyak dan kapal angkasa membeku ketika perlancaran.

    Menurut portal History, Challenger tidak meletup sebaliknya ‘letupan’ yang dilaporkan adalah bebola api yang terbentuk daripada cecair oksigen dan hidrogen akibat kebocoran tangki simpanan cecair pembakar itu. “Penutup yang direka untuk menghalang kebocoran pada tangki minyak gagal berfungsi ketika perlepasan. Keadaan itu memberi tekanan kepada bahagian tertentu menyebabkan beberapa komponen lain tidak dapat berfungsi dengan baik. Tekanan itu telah merangsang tangki simpanan cecair pembakar lalu meletup sekelip mata tanpa sempat tanda lampu amaran menyala di ruang kokpit,” katanya.

    Insiden tersebut diingati sebagai antara bencana angkasa paling buruk dalam sejarah. Selepas 10 tahun tragedi Challenger, dua serpihan besar daripada kapal angkasa itu ditemui terdampar di pantai Florida. Serpihan berkenaan kini disimpan di silo atau binaan bawah tanah yang menyimpan peluru berpandu di Cape Canaveral, Florida. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda