Tragedi kepala air: Bantuan segera RM75 juta untuk Kedah

YAN, 23 OGOS – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bantuan segera berjumlah RM75 juta bagi membantu kerajaan negeri Kedah memperbaiki segala kemudahan awam dan infrastruktur di Yan dan Merbok yang rosak akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai Rabu lepas.

Beliau berkata peruntukan itu termasuk RM50 juta menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air yang antara lain untuk menaik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer fasa satu daerah berkenaan melibatkan kos sebanyak RM5 juta.

Peruntukan itu juga melibatkan pembinaan dua jambatan baharu sebanyak RM23 juta, pembinaan intake loji rawatan air di Gurun dan Tupah (RM2 juta), pembinaan Empangan Sabo fasa satu (RM20 juta) serta kerja pembaikan kemudahan pelancongan desa dan kerja baik pulih bekalan air.

“Pada masa sama menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kerajaan akan menyalurkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang terkesan dengan bencana ini.

“Sebanyak RM5,000 juga akan diberikan kepada keluarga yang kehilangan waris dalam kejadian ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan terjejas banjir akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai Rabu lepas. Turut hadir Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Aminuddin Hassim. – Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menziarahi jenazah terakhir mangsa banjir, Ridwan Poniman,61, yang ditemui oleh pasukan penyelamat di Pusat Peranginan Titi Hayun hari ini. Mayat mangsa yang terakhir ini ditemukan di bawah timbunan kayu dan mayat dalam keadaan masih sempurna. – Bernama