Tragedi timpa kapal belia

BANDAR SERI BEGAWAN, 2001 – Suasana menyambut lawatan Kapal Belia Asean Nippon Maru yang berlabuh di Pelabuhan Muara bertukar menjadi suram apabila empat daripada pesertanya dan pemandu bas mini yang membawa mereka terkorban dalam kemalangan ngeri di Lebuh raya Sungai Akar.

Tragedi itu yang turut mengorbankan pemandu bas mini milik Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), dipercayai berlaku kira-kira pukul 9:35 pagi apabila bas tersebut yang membawa seramai 17 peserta Kapal Belia itu menuju ke Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah kanan berhampiran persimpangan lampu isyarat Lebuh raya Sungai Akar.

Menurut beberapa saksi yang berada di tempat kejadian itu, impak yang sungguh kuat itu mengakibatkan salah seorang peserta tercampak keluar dari tingkap bas sementara pemandu bas terlantar di wad unit Rawatan Rapi Hospital RIPAS dan keadaannya dilaporkan tenat.

Menurut sumber dari KKBS kesemua mereka sedang dalam perjalanan untuk menghadiri majlis penerimaan keluarga angkat yang dijadualkan pada 9 pagi di Stadium Tertutup. Pihak bomba ketika dihubungi mengenai kemalangan itu mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 9:46 pagi lalu mengerahkan 18 anggota dengan tiga kereta bomba dari Balai Bomba Berakas.

Ekoran kemalangan itu yang paling ngeri sepanjang tahun itu (2001) KKBS mengeluarkan kenyataan takziah rasmi kepada anggota keluarga mereka yang terkorban.

Media Permata difahamkan semua acara Kapal Belia di Brunei telah dibatalkan oleh jawatankuasa penganjur sementara lawatan seterusnya ke Vietnam dipertimbangkan.