GUADALAJARA, 18 Sept – Pihak berkuasa Mexico berusaha mencari sebuah parkir kosong semalam untuk menempatkan sebuah trak membawa lebih 100 mayat tidak dikenali yang mencetuskan kemarahan penduduk bandar Guadalajara kerana tidak tahan dengan bau mayat berkenaan.
Treler dilengkapi sistem penyejuk itu disewa apabila rumah mayat di bandar kedua terbesar Mexico itu sudah penuh dan diletakkan di sebuah gudang selama dua minggu di satu kawasan miskin Duraznera di pinggir bandar.
Ia mencetuskan kontroversi selepas penduduk mengadu tidak tahan dengan baunya dan ia menarik banyak lalat di lokasi itu.
Pihak berkuasa meletakkan trak itu di sebuah parkir kosong di Tlajomulco, sebuah lagi kawasan miskin jauh dari pusat bandar sebelum penduduknya pula membuat bantahan sejak Sabtu lalu.
Pegawai kemudian memindahkannya ke sebuah tempat penyimpan di pusat bandar dan kekal di sana hingga semalam.
“Kami tidak mahu ia berada di sini. Mereka perlu letakkannya di tempat lain. Ada ramai kanak-kanak di sini. Bau dari treler itu amat busuk dan mungkin menyebabkan kami sakit,” kata Jose Luis Tovar yang tinggal berdekatan.
Pihak berkuasa di negeri barat Mexico, Jalisco, memberitahu bahawa mereka sedang berusaha mencari penyelesaian bagi jangka masa panjang.
Menteri Dalam Negeri Jalisco, Roberto Lopez mengecam keputusan memindahkan mayat itu dari satu tempat ke tempat lain dan menegaskan, sesiapa yang bertanggungjawab dalam pentadbiran negeri akan dikenakan hukuman ‘keras’.
“Keadaan ini menunjukkan ada pegawai tidak sensitif kepada perkara tertentu termasuk keluarga mayat yang belum dituntut itu,” katanya dalam satu sidang akhbar.
Di Mexico, kod siasatan jenayah menghalang pihak berwajib dari membakar mayat yang dikaitkan dengan jenayah kekerasan.
“Kami kehabisan plot tanah perkuburan untuk kami dapat mengebumikan mereka,” kata ketua unit penyiasat forensik Jalisco, Luis Octavio Cotero.
Kerajaan negeri kini sedang mengusahakan sebuah tapak untuk mengebumikan 800 mayat di luar Guadalajara, katanya. – AFP