Transformasi digital kukuh wawasan pendidikan

Oleh Salawati Haji Yahya

Negara Brunei Darussalam, tatkala menjangkau usia kemerdekaan yang sudah mencecah 37 tahun, iaitu hampir tiga dekad lamanya, terus berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada anak watan di bumi Darussalam ini, dengan memberikan tumpuan kepada usaha-usaha memajukan sektor pembangunan dan ekonomi seiring dengan sektor pendidikan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta berakhlak mulia.

Usaha ini setentunya memberikan semangat untuk kita semua sama-sama berganding bahu dengan lebih gigih bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam bukan saja sebagai sebuah negara yang disegani dalam bidang tertentu, malah mampu melahirkan generasi yang berilmu.

Namun, dalam mencapai hasrat tersebut, sudah tentunya pelbagai cabaran dan rintangan perlu dihadapi dan ditangani apabila wabak COVID-19 meletus di seluruh dunia pada tahun lalu di mana negara Brunei juga tidak terkecuali daripada dibelenggu pandemik tersebut.

Walaupun terkesan dengan pandemik COVID-19 ini, pendidikan negara masih berjalan seperti biasa tetapi dengan menggunakan kaedah norma pembelajaran baharu yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dengan menerapkan pembelajaran digital bagi mengekang penyebaran koronavirus ini.

Kementerian Pendidikan dalam sistem baharu yang dilaksanakan semasa COVID-19 turut mengeluarkan panduan mengenai pembelajaran dalam talian, iaitu kaedah untuk membantu anak-anak dalam pelbagai peringkat persekolahan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengadakan lawatan tidak berjadual ke UNISSA, tahun lalu.
Pandemik koronavirus yang melanda telah mempercepatkan rancangan untuk transformasi digital dalam sistem pendidikan negara, di mana Kementerian Pendidikan telah melaksanakan pelan kesinambungan pembelajaran dalam talian bermula 30 Mac 2020.

Koronavirus mempercepat perubahan dalam sistem pendidikan

Pandemik koronavirus sekali gus telah mempercepatkan rancangan untuk transformasi digital dalam sistem pendidikan negara.

Kementerian Pendidikan telah melaksanakan pelan kesinambungan pembelajaran yang memberi fokus kepada pembelajaran dalam talian di mana pelajar-pelajar sekolah di negara ini memulakan pembelajaran online pada 30 Mac 2020.

Ini melibatkan transisi pembelajaran pelajar daripada satu jenis kaedah pembelajaran kepada kaedah yang lain dalam tempoh yang singkat dan cepat berubah.

Pelan bagi kesinambungan pembelajaran ini bukan sahaja melibatkan penggunaan teknologi tetapi alternatif lain yang boleh digunakan oleh pelajar.

Selain pembelajaran dalam talian, Kementerian Pendidikan juga menyediakan pek pembelajaran rumah (home-pack learning) bagi pelajar-pelajar yang tidak mempunyai akses kepada internet serta pendidikan melalui rancangan televisyen turut dilaksanakan sebagai sokongan tambahan pengajaran dan pembelajaran melalui media massa.

Penglibatan pihak berkenaan

Semasa pandemik, Kementerian Pendidikan terus berusaha memberikan alternatif kepada para pelajar yang ibu bapa tidak mempunyai akses kepada peralatan komunikasi atau peranti bagi memastikan pembelajaran anak-anak tidak tercicir.

Pelbagai inisiatif juga dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan pada masa pandemik COVID-19 yang melibatkan usaha sama pihak berkepentingan seperti Syarikat Unified National Network Sendirian Berhad (UNN) dan tiga buah syarikat telekomunikasi di negara ini serta Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) bagi melancarkan sistem pembelajaran dalam talian.

Usaha berkenaan bertujuan meringankan beban yang dihadapi oleh ibu bapa dan pelajar serta guru-guru semasa pandemik menerusi inisiatif-inisiatif yang diperkenal dan dilancarkan. Selain itu, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Kementerian Pendidikan turut membuat perundingan dengan UNN untuk menambah kapasiti data fixed broadband (jalur lebar tetap) di negara ini bagi membolehkan semua penuntut mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Bantuan komputer dan komputer riba untuk pelajar

Dalam memberikan dan memastikan semua pelajar menerima pembelajaran yang terbaik semasa pandemik COVID-19, Kementerian Pendidikan terus berusaha dalam memberikan bantuan kepada pelajar yang kurang berkemampuan supaya mereka boleh mengikuti pembelajaran dalam norma baharu semasa pandemik.

Ia dilakukan menerusi penyerahan peralatan komputer kepada pelajar terpilih yang dibuat secara berperingkat kepada beberapa buah sekolah yang mempunyai pelajar yang memerlukan peralatan komputer.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kemen-terian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) juga sama-sama berganding bahu dalam memastikan peralatan komputer yang disumbangkan memenuhi spesifikasi minimum yang diperlukan serta dilengkapi dengan pemasangan perisian tertentu bagi tujuan pembelajaran dalam talian.

Lawatan tidak berjadual Baginda Sultan ke universiti di negara ini

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ke beberapa buah universiti walaupun negara masih dilanda pandemik COVID-19, jelas memperlihatkan keprihatinan Baginda Sultan dalam bidang pendidikan.

Dalam siri lawatan tidak berjadual ke universiti, Baginda Sultan bertitah menekankan hasrat melihat universiti bukan sahaja maju dalam peredaran era teknologi malah menginginkan siswa dan siswi universiti dibekalkan dengan ilmu-ilmu pertanian, ternakan dan seumpamanya yang berlandaskan agama Islam.

Sehubungan itu, Baginda bertitah supaya UNISSA menubuhkan fakulti baharu yang dinamakan Fakulti Pertanian.

Bidang pertanian dalam pendidikan

Pada lawatan ke UBD pula, Baginda berkenan menyeru UBD merangsang penggunaan teknologi digital, menyarankan supaya inisiatif-inisiatif digital UBD biarlah selaras dan mendukung Digital Economy Masterplan 2025 yang dilancarkan pada tahun ini.

Baginda juga menyarankan supaya penyelidikan di UBD perlu sensitif kepada perubahan pelbagai landskap.

“UBD telah mula meneroka penyelidikan dalam Smart Farming iaitu pertanian dengan menggunakan teknologi canggih, dan perubatan peribadi (Personalised Medicine) di mana perubatan disesuaikan dengan individu berdasarkan informasi genetik individu tersebut,” titah Baginda.

Mushaf UNISSA hasil tulisan anak tempatan

Dalam lawatan ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Baginda menekankan bahawa sudah tiba masanya universiti itu memiliki mushafnya yang tersendiri.

Sehubungan dengan itu, setelah hampir 10 tahun, mushaf yang ditulis oleh anak-anak tempatan telah digunakan buat pertama kalinya bagi menggantikan cokmar pada Majlis Half Al-Takharruj ke-10 UNISSA pada November tahun lalu. Baginda Sultan turut berkenan melancarkan penulisan Mushaf UNISSA itu, memulakan penulisan mushaf dengan menulis Basmalah pada lembaran Ummul Kitab.

Dengan pelancaran itu, mushaf diharapkan akan menjadi sumber keberkatan dan simbol keagungan Islam di Negara Brunei Darussalam di samping menjadi kepala perarakan menggantikan cokmar yang diusung ketika Majlis Hafl Al-Takharruj.

Mushaf tersebut unik kerana penulis-penulisnya terdiri daripada anak tempatan yang juga merupakan tenaga akademik di UNISSA.

Pencapaian dan kemajuan pendidikan dalam pelbagai bidang ini jelas dilihat melalui peningkatan program dan kursus yang telah dilaksanakan secara menyeluruh di negara ini. Usaha-usaha berkenaan juga adalah untuk melahirkan generasi berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya ke arah mencapai Wawasan 2035.

Selain universiti tempatan, institusi pendidikan tinggi lain seperti Politeknik Brunei dan IBTE turut ditinjau Baginda bagi memastikan kualiti pendidikan di sana turut terpelihara dan dinaiktarafkan.