Transformasi digital ubah landskap pekerjaan

Oleh Sim Y. H.

Transformasi digital telah menjadi agenda utama pembangunan sebelum pandemik COVID-19 dan penularannya kini mempercepatkan lagi penerapan teknologi digital di mana pendigitalan merubah landskap pekerjaan bukan sahaja bagi masa terdekat tetapi juga untuk jangka panjang.

Di samping itu, pendigitalan telah menyaksikan seramai kira-kira 70 juta pengguna Internet baharu, yang menjadikannya di antara pangkalan pengguna Internet yang terbesar iaitu seramai hampir 400 juta pengguna.

Walaupun penerapan teknologi digital belum lagi diterapkan sepenuhnya semasa pandemik ini, tidak dapat dinafikan bahawa ia akan terus menjadi keutamaan dan akan mempunyai kesan yang berpanjangan dalam masyarakat.

Di sebalik cabaran-cabaran yang dibawakan oleh pandemik COVID-19, perjalanan transformasi digital ASEAN, bergerak dengan momentum yang baik.

“Dengan pemulihan ekonomi ASEAN, pandemik itu juga telah merubah cara kita bekerja dan bermain,” jelas Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Ekonomi ASEAN, Satvinder Singh semasa menyampaikan ucapannya pada sesi panel perbincangan pertama, ‘Masa Hadapan Pekerjaan’, di Meja Bulat Pelaburan dan Perniagaan ASEAN 2021, Kemahiran bagi Sebuah Zaman Digital, yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Yang Berhormat FDR. AR. Dayang Siti Rozaimeriyanty menyampaikan ucapan penutup di akhir Meja Bulat Pelaburan dan Perniagaan ASEAN 2021 berlangsung secara maya, baru-baru ini.
ATAS & BAWAH: Ahli-ahli sesi panel perbincangan kedua berkongsi pendapatan dan pandangan semasa Meja Bulat Pelaburan dan Perniagaan ASEAN 2021 diadakan secara maya, baru-baru ini.

Beliau turut menyatakan bahawa Internet of Things (IoT) dan analisis data telah merubah model perniagaan tradisional kita di mana dengan penerapan teknologi digital baharu, terdapat jutaan pekerjaan baharu akan dijana di rantau Asia dan juga Pasifik.

“Permintaan bagi pekerjaan teknologi sedang meningkat pada kadar dua angka. Terdapat juga kebimbangan bahawa perkembangan teknologi dan pekerjaan baharu akan mengambil alih pekerjaan-pekerjaan lama,” jelasnya.

Ahli-ahli panel bagi sesi perbincangan pertama itu juga mengetengahkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Manuel Bulens; Pengurus Transformasi Brunei LNG, Elizabeth Santanakumar; Pengarah Serantau Google Cloud bagi Asia Tenggara, Ruma Balasubramanian serta Pengarah Urusan Serantau dan Pengarah Lembaga Eksekutif Michael Page Asia Pacific, Anthony Thompson.

Semasa perbincangan itu, Manuel Bulens berkongsi tinjauan pendapat secara dalam talian minggu lalu, dikendalikan Bank Baiduri ke atas kira-kira 1,000 orang mengenai bekerja jarak jauh atau dari rumah, mendapati kira-kira 54 peratus responden lebih cenderung untuk bekerja dari rumah. Di samping itu, tinjauan juga mendapati bahawa 41 peratus menyatakan bahawa mereka dilengkapi dengan baik untuk bekerja dari rumah di mana ia memberikan manfaat seperti lebih masa untuk bersama keluarga dan menikmati fleksibiliti kerana tidak perlu bergegas ke pejabat.

Namun begitu, beliau menerangkan bahawa cabaran-cabaran yang diketengahkan adalah untuk mendapat keseimbangan dalam melaksanakan kerja dari rumah serta isu-isu penyambungan.

Dalam sesi perbincangan panel pertama berkenaan, ahli panel melihat bagaimana inovasi dan transformasi perniagaan merubah dunia pekerjaan dan bagaimana para pekerja beroperasi.

Selain itu, para ahli panel turut membincangkan mengenai beberapa perubahan kekal dalam ruang pekerjaan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan bagaimana tenaga kerja ASEAN perlu untuk bertindak balas pada perubahan berkenaan. Sementara itu, pada sesi panel perbincangan kedua, ‘Kemahiran bagi Sebuah Zaman Digital’, Utusan Perdagangan Perdana Menteri United Kingdom ke Negara Brunei Darussalam, Myanmar dan Thailand, Mark Garnier MP dalam ucapannya menyatakan bahawa UK sebagai rakan dialog ASEAN memberikannya asas untuk meningkatkan lagi hubungan di antara ASEAN dan UK dengan mendalami lagi hubungan digital termasuk meningkatkan ekosistem ASEAN menerusi Kerjasama Inovasi Digital ASEAN-UK yang dilancarkan baru-baru ini.

Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa UK memberikan sokongan kepada Projek Warisan ASEAN BAC 2021, H.I.R.E.D di mana projek itu akan membantu ASEAN untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam memastikan para majikan memenuhi keperluan kemahiran mereka dan menawarkan pekerjaan berdaya tahan dalam zaman digital ini.

“Tenaga kerja yang kukuh merupakan kunci kepada pemulihan yang lebih kuat dan hijau daripada COVID-19,” ulasnya.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa UK akan menyokong H.I.R.E.D dengan membangunkan skim perantisan rintis, menyediakan pembiayaan benih (seed funding) serta kepakaran kemahiran teknikal dan vokasional di mana skim rintis itu akan menumpukan kepada penganalisis data.

Beliau berkata bahawa penganalisis data mempunyai permintaan yang amat tinggi di serata ASEAN serta menjelaskan bahawa skim rintis berkenaan akan menumpukan pada Brunei sebagai pengerusi ASEAN 2021.

“Apabila skim rintis itu selesai, ASEAN BAC berharap untuk mengembangkan H.I.R.E.D kepada seluruh ASEAN,” tambah Mark Garnier MP. Beliau menerangkan melalui kerjasama di kalangan perniagaan dan komuniti latihan teknikal UK dan Brunei, ia memberikan peluang untuk meneroka kaedah yang terbaik bagi mengurangkan jurang kemahiran dalam bidang penganalisis data.

Melalui usaha itu, ia akan memberikan peluang bagi menubuhkan pakatan baru bagi latihan kemahiran.

“Ia adalah amat mustahak bagi kita untuk memastikan bekalan bakat-bakat yang terbaik untuk memenuhi permintaan. Sokongan kami adalah untuk mempersiapkan tenaga kerja ASEAN bagi melepaskan potensi penuh rantau sebagai teras inovasi dan jana kuasa ekonomi yang akan menjadi ekonomi keempat terbesar menjelang 2030.”

Sesi panel perbincangan kedua itu, mengetengahkan ahli-ahli panel terdiri daripada Naib Presiden Shell dan Pengarah Lembaga bagi Brunei LNG dan Brunei Gas Carriers (BGC), Suzanna Coogan; Pengerusi Majlis Tenaga Kerja Masa Depan ASEAN, Dato Palaniappan Joseph; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Solve Education!, Janine Teo serta Naib Pengerusi Pearson Director-International Stakeholder Engagement and UK Skills Partnership, Dr Sameer Khatiwada.

Ahli-ahli panel pada sesi perbincangan berkenaan telah membincang mengenai dengan sifat pekerjaan yang berubah dan mengenal pasti jurang kemahiran di Asia Tenggara serta membincangkan mengenai bagaimana kita dapat mempersiapkan diri bagi keperluan perubahan kemahiran di serata ASEAN.

Ahli-ahli panel menekankan peranan pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat dalam memastikan tenaga kerja yang bersedia untuk memenuhi keperluan industri.

Di akhir acara, Pengerusi ASEAN BAC 2021 dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat FDR. AR. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti DSLJ Haji Abdul Rahman dalam ulasan penutupnya menyatakan meja bulat itu mengingatkan kita bahawa transformasi digital menjadi semakin mustahak dalam ASEAN dan bagi memastikan kita terus menyesuaikan diri kepada perubahan itu, pentingnya untuk meningkatkan kemahiran dan memberikan kemahiran baharu kepada keperluan sebenar industri masa kini.

Acara Meja Bulat Pelaburan dan Perniagaan ASEAN 2021, Kemahiran bagi Sebuah Zaman Digital, telah dihoskan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN BAC) di mana seramai 800 orang peserta daripada serata Asia Tenggara dan juga luar rantau itu telah mendaftar bagi menyertai perbincangan maya yang mengetengahkan pakar serta pegawai-pegawai kanan daripada sektor swasta dan awam.