Transformasi industri ICT capai kejayaan signifikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Pada awal tahun 2019, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah serta Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku pengerusi bersama Majlis Ekonomi Digital telah mengumumkan inisiatif transformasi sektor teknologi info-komunikasi (ICT), dan dengan itu memulakan perjalanan ke arah mencapai agenda digital negara.

Dengan pengumuman itu, Syarikat Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), sebuah anak syarikat yang dimiliki penuh oleh Syarikat Darussalam Assets Sdn Bhd (Darussalam Assets), telah ditubuhkan untuk menyatukan dan menaik taraf infrastruktur rangkaian ketiga-tiga syarikat-syarikat telekomunikasi yang sedia ada iaitu Syarikat Datastream Technology Sdn Bhd (DST), Syarikat Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) dan Syarikat Telekom Brunei Berhad (TelBru).

DST, Progresif dan TelBru melancarkan syarikat-syarikat perkhidmatan runcit masing-masing iaitu Syarikat Datastream Digital Sdn Bhd (Datastream Digital), Syarikat Progresif Sdn Bhd (Progresif) dan imagine Sdn Bhd (imagine).

Kesemua syarikat perkhidmatan runcit akan mempunyai akses kepada infrastruktur rangkaian yang disediakan oleh UNN.

Walaupun tarikh-tarikh pelancaran perkhidmatan akan berbeza, syarikat-syarikat perkhidmatan runcit akan menawarkan 4G, number portability, product bundles yang baharu dan juga peningkatan kualiti perkhidmatan yang lebih luas pada harga yang berpatutan.

Dari segi ekonomi yang meluas, penambahbaikan infrastruktur rangkaian diharapkan akan memberi manfaat kepada kesemua sektor dan industri lain, dengan memangkinkan perkembangan ekonomi dan inovasi serta mewujudkan building blocks yang akan dapat membantu untuk mengekalkan dan memperkembangkan lagi perniagaan-
perniagaan tempatan.

Yang Berhormat Menteri Pe-ngangkutan dan Infokomunikasi menyatakan, “Sektor ICT berada di barisan hadapan dalam usaha negara untuk mentransformasikan ekonomi secara digital dan untuk meningkatkan cara menjalankan perniagaan.

“Dari transaksi tanpa sempadan ke perkhidmatan yang lebih menepati cita rasa, teknologi digital berpotensi untuk memperkayakan kehidupan masyarakat dan membuka peluang baharu untuk menggerakkan ekonomi secara meluas.

“Pelancaran syarikat-syarikat perkhidmatan runcit adalah sebuah penanda yang penting dalam strategi untuk meningkatkan lagi persaingan di dalam sektor, serta merangsang inovasi dan pilihan bagi pengguna-pengguna dan perniagaan. Perkhidmatan number portability, iaitu perkhidmatan yang dikehendaki dan ditunggu-tunggu oleh pengguna, akan dilancarkan secara rintis (pilot) pada 24 Januari ini dengan kapasiti yang terhad terlebih dahulu sebelum dilancarkan sepenuhnya dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang ini.”

Syarikat-syarikat telekomunikasi yang sedia ada akan beralih untuk memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan dan tenaga manusia sebagai Development Companies.

Syarikat-syarikat tersebut akan meneroka serta membangunkan perniagaan baharu dan bekerjasama dengan perusahaan-perusahaan tempatan dan antarabangsa untuk memahami keperluan tenaga kerja terkini dan masa hadapan.

Melalui inisiatif-inisiatif tersebut, syarikat-syarikat berkenaan akan meningkatkan kemahiran untuk menjana pekerja yang berdaya tahan dan future-ready.

Darussalam Assets mengekalkan komitmennya untuk memastikan hal ehwal para pekerja akan terpelihara, yang mana tidak akan ada pemberhentian perkhidmatan anak-anak tempatan secara terpaksa disebabkan transformasi
berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyatakan harapan ke atas pencapaian pelancaran syarikat-syarikat perkhidmatan runcit dan pelancaran Development Companies yang akan datang: “Pencapaian pelancaran syarikat-syarikat perkhidmatan retail adalah penanda penting bagi kemajuan negara kita ke arah menjadi sebuah Negara Pintar. Dengan perkembangan yang terbaharu ini, transformasi ini akan dapat memacukan pertumbuhan ekonomi dalam industri-industri yang lain serta segmen MSME.

Development Companies akan terus bekerjasama dengan perusahaan-perusahaan tempatan dan antarabangsa untuk membolehkan warga-warga tempatan untuk menjana peluang pekerjaan yang berkualiti dan mendapat manfaat sepenuhnya daripada ekonomi digital Brunei yang semakin berkembang. Dengan transformasi ini, negara menuju ke arah ekonomi yang lebih kukuh dan kompetitif di rantauan ini.”