Transformasi jus buah kepada ‘superfood’

KUALA LUMPUR – Apabila menyebut mengenai pilihan makanan dan jus yang sihat, pengguna hari ini mempunyai terlalu banyak pilihan.

Dari pasar raya hingga ke kiosk, kedai makan dan trak makanan.

Makanan dan jus yang segar dan berkualiti bukan sahaja menjadi keinginan selera makan seseorang, tetapi juga merupakan keperluan untuk mendapatkan vitamin dan nutrien yang cepat untuk tubuh selain pada masa yang sama dapat meningkatkan imuniti dan mencegah diri daripada penyakit berpotensi.

Bagi Anabelle Co-Martinent, pengasas La Juiceria Superfoods Sdn Bhd, memulakan bar jus dan kafe yang sihat melalui jenama La Juiceria, bar perahan jus sejuk pada tahun 2013 adalah bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat melalui diet yang seimbang.

Beliau kali pertama memulakan perniagaan La Juiceria ialah secara dalam talian, memasarkan produknya melalui media sosial, dan menghantarnya sendiri kepada pelanggan.

Perniagaan berjaya dimulakan dan kemudiannya berkembang dengan sebuah kedai.

La Juiceria yang dikenali sebagai jus bar dan kafe telah bertransformasi kepada ‘Superfood’ yang fokus kepada penyediaan makanan. – Bernama

Hari ini, La Juiceria Superfoods adalah kumpulan makanan dan minuman sihat (F&B) terkemuka, yang menyediakan pilihan berkualiti dengan lima jenama yang berbeza.

Mengimbas kembali akan perkembangannya, Annabelle berkata beliau mengambil peluang terhadap platform perkhidmatan penghantaran makanan ketika pertama kali ia diperkenalkan.

“Kami bekerja dengan perkhidmatan lain sebelum GrabFood, dan walaupun bermula dengan baik, tidak ada pendorong lain yang boleh menyokong pertumbuhan kami.

“Oleh itu, ketika Grab mendekati saya menampilkan idea dan kempen yang dapat membantu meningkatkan penjualan, saya amat berbesar hati,” jelas Anabelle kepada Bernama tentang mengapa beliau memilih untuk bekerjasama dengan Grab sebagai salah satu Signature Merchantsnya.

Sebagai sebahagian daripada program Signature Merchants Grab, La Juiceria berjaya meningkatkan pendedahannya kepada kumpulan pengguna yang lebih luas.

Sejak bekerjasama dengan Grab,  Anabelle dan pasukannya juga dapat memanfaatkan wawasan atau pandangan daripada GrabFood untuk lebih memahami trend pengguna, dan mengenal pasti peluang pertumbuhan yang berpotensi.

Ini termasuk prestasi jenama yang memberi manfaat kepada mereka dalam mengenal pasti bidang pertumbuhan dan mengembangkan jenama baharu.

“Hari ini, kami telah berkembang dan berjaya memantapkan diri sebagai jenama makanan sihat dalam kalangan pengguna, seterusnya menyaksikan peningkatan pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Annabelle dan pasukannya juga mengenal pasti peluang perniagaan baharu dan idea pelancaran kreatif yang menawarkan pelbagai masakan di bawah satu bumbung.

Beliau sentiasa ingin mencipta jenama yang memfokuskan kepada kegemaran Malaysia, tetapi memerlukan pandangan yang lebih jelas mengenai pilihan pasaran semasa.

“Selain daripada penyelidikan kami sendiri, data dari Grab sangat berharga dalam perkembangan kami. Dengan pengetahuan mengenai demografi pengguna, pilihan dan kesediaan untuk berbelanja, kami dapat menyediakan penawaran yang sesuai dengan pasaran,” kata Annabelle.

Dengan GrabFood juga, ia membantu La Juiceria bergerak pantas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan inovasi terhadap kegemaran tempatan untuk memenuhi kehendak pelanggan dan pada masa yang sama dapat mengurangkan kesan penurunan pelanggan makan di kedai (dine-in).

“Kami bersyukur kerana kami sudah menggunakan platform GrabFood semasa PKP yang membolehkan kami untuk terus memberikan perkhidmatan kepada pelanggan sambil mengurangkan kesan gangguan.

“Dunia kini telah berubah kepada dalam talian, dan mempunyai kedai tanpa sokongan dalam talian tidak lagi mencukupi. Untuk mengembangkan perniagaan, harus ada fokus yang sama antara dalam talian dan luar talian,” jelas beliau.

Melalui pengalaman dengan Grab, beliau berkata syarikat telah belajar bahawa perniagaan harus mencari rakan kongsi yang ada untuk mereka bagi jangka masa panjang.

“Dengan membantu awda dalam bidang yang kurang berpengalaman, awda akan mendapat bimbingan yang sesuai sambil memusatkan perhatian pada kecekapan teras,” tambah Annabelle. – Bernama