PANTAI MIAMI – Kisah pembunuhan Gianni Versace semakin berjaya mendapat perhatian apabila ia juga turut dimuatkan dalam musim terbaru siri drama American Crime Story yang merungkai semula kisah pereka fesyen tersebut termasuk bekas kediaman mewahnya yang terletak di South Beach.
Rumah agam yang menampilkan konsep Mediterranean itu juga seringkali berjaya menarik minat para pelancong yang akan berhenti untuk merakamkan aksi menarik berlatarkan bangungan yang memiliki reka bentuk yang cukup mewah itu.
Hakikatnya, rumah agam itu juga menjadi saksi yang menjadi lokasi berlakunya sebuah pembunuhan di mana Gianni Versace telah ditembak mati oleh seorang pembunuh bersiri bernama Andrew Cunanan pada tahun 1997.
Kini, bekas rumah Versace itu telah diperbaharui dan ditransformasi menjadi sebuah hotel mewah bernama The Villa Casa Casuarina di mana ia tetap mengekalkan hiasan dalaman yang berkonsepkan glamor dan sangat mewah.
Para pengunjung juga tetap berpeluang untuk berenang di dalam kolamnya yang sangat indah dengan susunan jubin emas 24 karat dan tidur di katil empuknya yang bersaiz king dilengkapi dengan lapisan cadar yang sangat istimewa di mana setentunya ia akan memberikan jaminan keselesaan kepada tetamunya.
Di samping itu, para pengunjung juga turut berpeluang untuk menghayati panorama indah yang menghala ke arah lautan ketika berada di bumbung di hotel tersebut dan menikmati makan malam dengan gaya gourmet di restoran yang pernah menjadi ruang makan utama pada suatu ketika dahulu.
Pengurus hotel, Chauncey Copeland menjelaskan bahawa struktur binaan dan hiasan dalaman bangunan yang menampilkan konsep mewah itu tetap termasuk dari aspek mosaic, lukisan frisko dan skulptur ukiran patung Medusa.
“Kami telah berusaha untuk mengekalkan apa yang telah dicipta oleh Versace dan hanya memberikan sedikit sentuhan moden di hotel tersebut bagi memberikan keselesaan kepada para pengunjung termasuk menambah binaan restoran di dalam hotel yang pernah menjadi rumah agam kepada pereka fesyen terkemuka ini,” jelas Copeland.
Versace telah membelanjakan kos sebanyak AS$33 juta untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian terhadap bangunan yang dibelinya pada tahun 1992 itu.
Bangunan ini merupakan sebuah kompleks apartmen yang dibina pada tahun 1930 oleh pewaris Standard Oil, Alden Freeman.
Selepas kematian Versace, keluarga mendiang telah menjual bangunan tersebut dan dibeli oleh kumpulan Victor Hotels dengan harga AS$41.5 dalam sebuah acara lelongan pada tahun 2013.
Salah seorang pengunjung yang berasal dari Manila, Joey Cargill menjelaskan bahawa menginap di hotel mewah yang merupakan bekas kediaman kepada pereka fesyen terkemuka itu merupakan satu pengalaman yang sangat berharga.
“Ia ibarat mengimbas kembali sejarah seorang penggiat seni terkemuka seperti Versace dan peluang untuk menginap di kediaman milik individu terkenal dalam dunia fesyen itu merupakan satu pengalaman yang cukup indah untuk dikenang,” jelas Cargill.
“Sekurang-kurangnya saya berpeluang untuk menikmati kehidupan mewah seperti apa yang pernah dirasakan oleh Versace walaupun ia hanya dalam tempoh masa yang seketika. Sejujurnya katil di dalam hotel mewah ini sangat besar dan cukup selesa,” jelas Cargill.
Kisah pembunuhan Gianni Versace turut diterapkan dalam episod perdana American Crime Story yang bakal disiarkan pada 17 Januari ini.
Barisan pelakon dan kru juga turut berkesempatan untuk meluangkan waktu penggambaran selama sebulan di hotel mewah tersebut dan ramai di antara mereka melahirkan rasa puas hati ketika berada di kawasan hotel tersebut. – AP