Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Transformasi minda diperlukan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Seiring dengan kemajuan Industri 4.0, permintaan terhadap tenaga kerja yang berbakat dan terlatih secara digital akan bertambah apabila ekonomi digital berkembang.

    Oleh itu, bakat dan kemahiran berkenaan perlu ditingkatkan bagi membolehkan orang ramai menyesuaikan diri dalam Industri 4.0.

    “Dalam bidang pendidikan, transformasi minda dalam kalangan pelajar diperlukan dan asas-asas kemahiran baharu ini perlu diajar dan difahami oleh para pelajar.

    “Melatih pelajar untuk kerja esok, memandangkan melatih mereka untuk pekerjaan hari ini tidak lagi relevan,” tekan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman semasa berucap pada perasmian Majlis Kongres dan Konferensi Global Royal Institution (RI) ke-14, hari ini.

    Berucap pada majlis yang berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, beliau menjelaskan bahawa majlis berkenaan merupakan platform untuk masyarakat saling berinteraksi dan menyediakan atau memberi susunan pengetahuan bersama bagi membantu meningkatkan potensi pemimpin global melalui kepimpinan kolaboratif untuk memimpin fasa pembangunan dengan cekap.

    Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa perasmian Majlis Kongres dan Konferensi Global RI ke-14, kelmarin.
    Semasa pelancaran logo baharu RI yang diadakan di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

    “Ia adalah hasrat bersama bagi kepimpinan, ilmu pengetahuan, rangkaian afiliasi global dan inovasi ke arah penyelesaian pembangunan lestari kita bersama,” jelasnya.

    Menurut beliau, tema tahun ini iaitu ‘Kepimpinan Global dan Kesannya terhadap Pembangunan Mampan’ adalah sangat komprehensif kerana ia menyentuh banyak sifat kepimpinan berkualiti yang boleh diajar secara global.

    Pada masa yang sama, ia juga menyentuh mengenai tanggungjawab para pemimpin untuk mengemudi syarikat atau ekonomi mereka untuk memastikan kesemua aspek pembangunan telah dilaksanakan sewajarnya dan berkesan ke arah kemapanan

    Beliau berkata, pencapaian mana-mana negara dalam usaha untuk mencapai pembangunan yang mampan memerlukan usaha gabungan semua pihak termasuk kerajaan, pemimpin perniagaan, sektor swasta, masyarakat dan rakyat.

    “Di Brunei, para pemimpin digalakkan untuk menerajui inisiatif gabungan ke arah lebih banyak peserta dan peranan dalam perkongsian persendirian dan awam dan bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan inisiatif yang lancar dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035,” kongsinya.

    Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty turut menekankan bahawa kepimpinan dan pengurusan inovatif akan menjadi asas bagi organisasi dalam semua sektor untuk memasukkan matlamat pembangunan mampan ke dalam rancangan strategik dan aktiviti operasi mereka dalam mencapai aspirasi pembangunan yang mampan.

    Menurutnya, cabaran global semasa untuk mencapai pembangunan mampan adalah kompleks, saling berkaitan dan memerlukan semua orang untuk berusaha ke arah mewujudkan masa depan yang lebih mampan.

    “Oleh itu, pemimpin global mewujudkan penyelesaian dan peluang untuk orang berkumpul dan membuat resolusi mereka sendiri,” katanya lagi.

    Manakala itu, Canselor RI Singapura dan Filipina, Profesor Dr Samuel M Salvador dalam ucapannya menyentuh mengenai pemimpin global yang perlu melibatkan pihak-pihak berkepentingan dan rakan seperjuangan bagi menyelesaikan sesuatu.

    Beliau berkongsi empat kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pemimpin global iaitu membuat pilihan yang memberikan kelonggaran, menyedari bahawa perkara-perkara tidak selalu menjadi, dapatkan pendedahan budaya lain sebanyak yang boleh dan memahami kepentingan komunikasi.

    “Tanpa pemimpin yang baik, kumpulan kerja akan mendapati diri mereka sesat dalam aliran ketidakpastian. Mungkin hampir tidak ada arah, tiada kerjasama dan perpaduan antara orang dalam organisasi. Hanya kerja minimum yang dapat dicapai atau mungkin tidak sama sekali,” tekan beliau.

    Majlis tersebut juga menyaksikan pelancaran logo baru RI diikuti dengan sesi pleno kongres global.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda