Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Usaha ke arah transformasi digital bagi pelancongan di Negara Brunei Darussalam menyaksikan Dynamik Technologies bekerjasama dengan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) yang dicadangkan untuk bermula dengan pendigitalan panduan pelancongan (tour guidance) bagi muzium-muzium.
Daripada cadangan itu, pelbagai teknologi yang digunakan oleh muzium-muzium di serata dunia telah dinilai dengan matlamat bagi pendigitalan maklumat seperti peta, pengemudian, penerangan artifak dan peristiwa sejarah.
Pada masa yang sama, turut dimaklumi bahawa muzium-muzium melabur dalam generasi akan datang untuk memastikan bahawa peristiwa sejarah yang signifikan adalah difahami dan ke arah itu, adalah penting untuk melabur dalam teknologi bagi memenuhi keperluan generasi yang celik teknologi yang mengharapkan simulasi serta interaktiviti.
Semua itu adalah selaras dengan industri 4.0, maklumat yang berpandukan data adalah amat penting bagi meningkatkan pengalaman pelancong secara keseluruhannya, jelas Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Dayang Haslina binti Taib dalam kata alu-aluannya pada pelancaran Digital Audio Tour Guide di Muzium Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Beliau berkata lagi, dalam skala yang lebih besar, kita melihat bahawa dengan pelancongan digital Brunei dapat menjana pelancongan yang lebih mantap, menangani keperluan bagi lebih ramai pemandu pelancong, menjana maklumat yang konsisten dalam pelbagai bahasa, menjana program dan elemen interaktif, membantu menstrukturkan pelancongan serta menjadikannya lebih menarik bagi pelancong-pelancong untuk mengenali Negara Brunei Darussalam.
Ke arah itu, Dayang Haslina berkata bahawa cadangan bagi cara yang terbaik untuk melaksanakan perkara itu adalah dengan menggunakan peralatan yang digunakan oleh hampir semua orang iaitu telefon pintar di mana pelancongan telefon pintar mempunyai pelbagai ciri seperti audio, foto, teks, video dan penggunaan teknologi triggering seperti GPS, bluetooth dan pengimbasan kod QR.
Beliau menjelaskan bahawa pihaknya telah membangunkan sebuah prototaip bagi Zon A, Muzium Alat Kebesaran Diraja iaitu sebuah tarikan pelancongan yang terkenal dan pengembaraan sekeliling Bandar Seri Begawan.
“Menggunakan aplikasi izi.TRAVEL, kami telah meletakkan Brunei di peta dan dengan situasi semasa COVID-19, kami mula untuk menerima pelancong maya, bukan sahaja dari Brunei tetapi juga antara lain dari China, Korea Selatan, Jepun, Rusia dan United Kingdom.”
Beliau menambah dengan maklum balas yang diberikan, mereka dapat memperbaiki lagi isi kandungan digital audio guides.
Pada masa yang sama, beliau berharap melalui digital audio guide, para pelancong akan dapat mendalami sejarah dan budaya tempatan Brunei Darussalam sambil mereka meneroka serta mempelajari mengenai mercu tanda budaya dan bersejarah Brunei.