Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Transformasi pendidikan lahir generasi berwawasan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar fail oleh Muiz Matdani

    Pendidikan adalah nadi pembangunan sesebuah negara, dalam erti kata lain, sistem pendidikan mantap dan komprehensif seiring dengan perkembangan masa merupakan aset penting bagi membangunkan masyarakat dan negara.

    Ke arah memperkasakan sistem pendidikan negara, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memberikan tumpuan kepada usaha-usaha untuk memajukan sektor pendidikan seiring dengan sektor pembangunan dan ekonomi ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta berakhlak mulia.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia, raja yang berjiwa rakyat, telah mengambil pendekatan proaktif dan tidak jemu berangkat turun padang untuk meninjau lebih dekat sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara ini, selain lawatan ke jabatan-jabatan kerajaan.

    Keberangkatan Baginda itu jelas memperlihatkan keprihatinan Baginda Sultan mengenai kesejahteraan dan keperluan pelajar-pelajar sekolah yang mana mereka ini adalah aset negara untuk menjadi penerus pembangunan masa depan negara.  

    Seperti yang ditekankan dalam petikan titah Baginda sempena Sambutan Tahun Baharu Masihi 2009, “Sementara kita tidak mengetahui jawapan kepada cabaran-cabaran dunia yang sangat kompleks, kita perlu mempersiapkan diri bagi masa depan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan ijazah kepada graduan sempena Majlis Haflut Takharruj Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada Februari 2022.
    Baginda Sultan berkenan dijunjung beramah mesra dengan para graduan semasa Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam pada Januari 2022.
    Baginda Sultan semasa berkenan mengadakan lawatan ke PTE Tutong pada Julai 2022.

    “Kerajaan Beta insya-Allah akan sentiasa membuat penilaian dan pembaikan-pembaikan yang bersesuaian. Kita memang tidak sunyi dari menghadapi pelbagai cabaran baharu yang tidak siapa pun dapat menjangkakannya. Tetapi selaras dengan pegangan, kita berusaha, di samping berdoa dan bertawakal, dengan penuh berani. Ini semua, pada akhirnya, akan mewujudkan ketahanan nasional, yang berperanan besar untuk menjamin kemajuan dan kemakmuran negara.”

    Untuk mencapai agenda yang dirancang, Baginda juga tidak kendur-kendur memberi teguran dan pandangan ke arah kebaikan, seterusnya menjadi pemangkin semangat bagi terus memperbaiki dan meningkatkan usaha mencapai matlamat negara.

    Menteri wanita pertama
    Dalam usaha membawa perubahan dan penambahbaikan berterusan dalam sistem pendidikan negara, Baginda Sultan mempunyai pandangan ke hadapan dan telah memberi kepercayaan kepada golongan wanita untuk menjadi sebahagian daripada menteri-menteri kabinetnya.

    Oleh yang demikian, buat julung kalinya dalam sejarah negara, Baginda telah berkenan melantik wanita pertama dalam barisan menteri-menteri kabinet untuk memimpin dalam bidang pendidikan menerusi pelantikan Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh sebagai Menteri Pendidikan.

    Pelaksanaan SAM
    Dalam mengharungi segala cabaran terutamanya pandemik COVID yang telah merubah persekitaran pendidikan, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Beberapa pendekatan telah diperkenankan oleh Baginda Sultan untuk memastikan rakyat dan penduduknya mendapatkan pendidikan sebaik-baiknya, dan salah satunya adalah School Assessed Marks (SAM).

    Pada tahun lalu, Baginda telah memperkenankan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) bagi 2021 dilaksanakan melalui kaedah alternatif iaitu SAM untuk pelajar Tahun 6.

    Ia bertujuan menjamin keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta tenaga pengajar Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan sekolah-sekolah swasta ketika negara masih dibelenggu pandemik COVID.

    Pihak Kementerian Pendidikan telah membuat penilaian secara menyeluruh dengan mengadakan penilaian risiko dan kaji selidik untuk ibu bapa serta penjaga pelajar dan guru-guru Tahun 6 dalam mengendalikan peperiksaan berkenaan dengan mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan para pelajar dan tenaga pengajar yang terlibat.

    Kaedah SAM ini merangkumi markah pelajar-pelajar sepanjang tahun 2021 yang dicatat melalui Penilaian Berasaskan Sekolah SBA.

    Pendidikan Arab
    Selain bidang akademik, Baginda Sultan juga memandang serius pendidikan Arab di negara ini. Untuk memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pendidikan Arab di negara ini, dua buah bangunan sekolah Arab baharu yang tersergam indah telah digunakan bagi pengajaran dan pembelajaran para pelajar.

    Walaupun kedua-dua bangunan baharu ini dibina khas untuk pembelajaran Arab, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok, Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah dan Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (SPABSB) masih digunakan untuk menampung pelajar-pelajar yang lain.

    Mengikut arus perubahan
    Di samping menyentuh pendidikan akademik dan agama, Baginda Sultan juga berhasrat melihat institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini menerokai kelayakan mikro atau micro credentials.

    Micro credentials kini telah mengubah landskap pendidikan akibat pendigitalan sektor pendidikan tinggi serta transformasi digital dalam kalangan industri.

    Micro credentials yang menawarkan bentuk pembelajaran yang amat fleksibel dan inklusif itu membolehkan kemahiran dan kecekapan diperoleh sesuai dengan keadaan negara yang memerlukan pekerja dan pencari kerja yang mahir dan berdaya saing.

    Baginda Sultan turut melahirkan rasa gembira dengan pencapaian signifikan pendidikan dalam pelan strategik lima tahun, apabila Universiti Brunei Darussalam (UBD) buat julung kalinya disenaraikan dalam dua World University Rankings yang terkemuka, iaitu QS dan Times Higher Education.

    Selain itu, usaha juga telah dilaksa-nakan untuk mengembangkan kampus berupa kampus luar negara pertama di Da Nang, Vietnam dan UBD juga telah memulakan inisiatif pelan strategik dari 2021 hingga 2025 dengan visi National Relevance, Global Impact.

    Melihat kepada pencapaian dan usaha UBD, Baginda berharap UBD akan lebih memfokuskan kepada keperluan nasional yang berimpak tinggi, seperti teknologi digital dan kesejahteraan sosial.

    Ini kerana tumpuan pelbagai penyelidikan dan input akademik perlu sejajar dengan keadaan semasa yang sama taraf dengan sektor kesihatan dan perubatan, pembangunan, alam sekitar dan pembangunan lestari serta sosioekonomi negara.

    Sepanjang pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, kerajaan Baginda telah banyak memberi kemudahan kepada rakyat terutama pelajar-pelajar menerusi penganugerahan biasiswa, antaranya Sultan Scholar dan beberapa biasiswa lain yang bukan saja untuk biasiswa luar negara tapi juga di dalam negara.

    Dengan adanya usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Baginda dan kerajaan Baginda, matlamat rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berwawasan pasti dicapai dengan penglibatan semua pihak.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...