Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    Transformasi rumah pangsa indahkan kawasan kediaman

    KUALA LUMPUR – Dari luar, bangunan 12 tingkat yang mempunyai 216 pintu ini hanyalah rumah pangsa dengan cat luaran yang hampir lapuk sama seperti perumahan kos rendah lain, namun jika menjengah di bahagian ruang lobi, dekorasinya tidak ubah seperti hotel.

    Itulah gambaran suasana Rumah Pangsa Pandan Utama, Ampang, dekat sini, yang dihias cantik dan menarik dengan pelbagai corak serta rekaan berlainan di setiap tingkat mengikut daya kreativiti penduduk.

    Lebih menarik, projek dekorasi itu yang merupakan hasil kerjasama Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Persatuan Penduduk turut dilengkapi dengan tanda arah rumah sekali gus memudahkan pengunjung luar mencari unit kediaman yang ingin dilawati. 

    Pengerusi JMB Rumah Pangsa Pandan Utama Hussin Yahya, 67, berkata transformasi itu bermula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

    Katanya, rata-rata penduduk di situ yang bekerja sebagai buruh binaan dalam pelbagai sektor enggan mensia-siakan waktu lapang yang ada sepanjang PKP.

    Lukisan mural terletak di bahagian sebelum lorong masuk ruang lobi di hadapan parkir kereta tingkat bawah. Mural ini dihasilkan oleh Insentif Selangor Memerangi Ancaman Dadah (I-SMARD). – Bernama
    Rumah Pangsa Pandan Utama Blok C mempunyai keunikan tersendiri setelah bahagian lobi disitu mempunyai susun atur dan dekorasi yang menarik bagaikan berada di sebuah hotel. – Bernama
    (Dari kanan) Pengerusi JMB Rumah Pangsa Pandan Utama Hussin Yahya, Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Mazilah Abd Jalil, dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Zulkifli Abdul Rahman, di hadapan laluan utama Blok C Rumah Pangsa Pandan Utama, Ampang, ketika ditemui baru-baru ini. – Bernama
    Seorang penduduk Rumah Pangsa Pandan Utama, Blok C menunjukkan pelbagai jenis bunga hidup yang dijaga dengan rapi ketika ditemui. – Bernama
    Rumah Pangsa Pandan Utama Blok C mempunyai keunikan tersendiri setelah bahagian lobi yang terdapatnya lif mempunyai susun atur dan dekorasi yang menarik bagaikan berada di sebuah hotel. – Bernama

    “Asalnya, kami hanya merancang untuk mengecat dan menghias ruang lobi bawah memandangkan ia adalah kawasan tumpuan utama keluar masuk sekali gus mencipta ruang yang lebih selesa buat penduduk.

    “Namun, kami sangat teruja selepas melihat hasilnya lantas bersepakat untuk sama-sama mengindahkan dan mencantikkan ruang lobi di setiap tingkat,” katanya kepada Bernama.

    Lebih membanggakan, bagi tujuan itu, penduduk sanggup mengeluarkan modal sendiri selain terdapat individu yang bermurah hati untuk menderma atau menajanya.

    “Tiada paksaan dalam soal kutipan, ia bergantung kepada kemampuan penduduk kerana kita sedar bukan semua mampu untuk melakukannya. Pendek kata, kalau nak lagi cantik, modal pun kena lebih,” katanya.

    Tidak sekadar cantik dan menarik, tinjauan Bernama di kawasan persekitaran rumah pangsa itu mendapati keadaannya hampir sifar sampah di atas jalan raya sekali gus mewujudkan persekitaran bersih dan ceria.

    Bagi Mazilah Abd Jalil, 49, pula semangat permuafakatan dalam kalangan penduduk menjadi kunci utama dalam mengubah mentaliti kehidupan di rumah pangsa terutamanya apabila membabitkan soal kebersihan, vandalisme dan isu sosial.

    “Jujurnya, kami sangat bersyukur dan terharu dengan semangat sukarelawan dalam kalangan penduduk. Tambahan pula, flat (perumahan) kami sangat aktif dengan pelbagai aktiviti.

     “Walaupun ada cleaner (tukang cuci) yang bertanggungjawab membersihkan kawasan persekitaran, penduduk juga mengambil inisiatif untuk menghias dan membersihkan sendiri laluan koridor dan bumbung rumah,” kata Mazilah yang juga Setiausaha JMB di rumah pangsa berkenaan.

    Beliau berkata secara tidak langsung, keadaan itu turut melahirkan masyarakat berfikiran positif selain mengeratkan hubungan sesama mereka.

    Turut sependapat Zulkifli Abdul Rahman, 46, yang menyifatkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan tumpuan seperti lif, parkir dan lobi membantu kawasan kediaman mereka berada dalam keadaan lebih selamat dan terjaga.

    “Setakat hari ini, belum ada perbuatan khianat yang kami terpaksa hadapi. Walaupun masih ada beberapa kelompok individu yang kekal dengan mentaliti lama, apa yang kita terapkan adalah bersabar dalam mendidik mereka.

    “Mereka ini perlu diberikan lebih motivasi, kesedaran atau kaunseling sehingga akhirnya mereka yang akan malu sendiri dengan perbuatan tidak bertanggungjawab mereka,” katanya.

    Kesepakatan penduduk Rumah Pangsa Pandan Utama dalam mengecat dan menghias kawasan kediaman bukan sahaja mendapat pujian orang ramai tetapi juga daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selain bakal menerima kunjungan daripada pihak berkuasa tempatan yang lain dalam tempoh terdekat.

    Selain itu, penduduk rumah pangsa itu juga berharap agar permintaan untuk mengecat luar bangunan perumahan akan diluluskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Lembaga Perumahan Hartanah Selangor, tahun ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...