Transformasi tukar plastik jadi perabot

Sisa buangan plastik kitar semula semakin pesat berkembang dijadikan material popular dalam kalangan pereka untuk menghasilkan produk hiasan dalaman.

Demikian dilakukan penduduk bandar Thessaloniki di Greece apabila mereka kini boleh mengitar semula sisa plastik kepada perabot cetakan tiga dimensi (3D) menggunakan mesin khas dihasilkan firma arkitek dari Rotterdam, The New Raw.

The Zero Waste Lab adalah usaha terbaharu dalam inisiatif kitar semula plastik The New Raw untuk penduduk menghias tempat awam dalam bandar mereka dan dijalankan dengan kerjasama jenama minuman Coca Cola.

Ia menawarkan penduduk tempatan kemudahan kitar semula sisa plastik mereka menggunakan robot cetakan 3D yang boleh mengubah bahan plastik kepada perabot.

Pengguna juga boleh mengolah perabot menerusi laman sesawang, memilih aneka warna pilihan dan fungsinya termasuk memilih lokasi dalam bandar untuk menyusun perabot berkenaan. Pilihan perabot dicadangkan termasuk pasu, rak basikal, mangkuk makanan haiwan peliharaan dan rak buku. Laman sesawang akan memaklumkan berapa banyak plastik kitar semula diperlukan untuk mengolah perabot dipilih.

The Zero Waste Lab adalah usaha terbaharu dalam inisiatif kitar semula plastik The New Raw untuk penduduk menghias tempat awam dalam bandar mereka. – Agensi
Print Your City bermatlamat menghubungkan penduduk bandar seluruh dunia dengan proses mengitar semula dan menukar sisa buangan itu. – Agensi
Sisa buangan akan diasingkan, dicuci dan dileraikan sebelum dicairkan serta dicampur dengan pigmen untuk membentuk material boleh dicetak. – Agensi

“Plastik direka untuk kekal selamanya, namun acap kali kita menggunakan plastik hanya sekali sebelum dibuang begitu saja.

“Menerusi projek Print Your City, kami berusaha menunjukkan jalan lebih baik menggunakan plastik dalam aplikasi jangka panjang dan bernilai tinggi,” kata pengasas The New Raw, Panos Sakkas dan Fonteini Setaki.

Disumbangkan ke makmal

Perabot dibuat daripada plastik jenis PP dan PE yang lazim digunakan dalam pembungkusan makanan yang diperoleh terus daripada sisa plastik yang disumbangkan ke makmal.

Sisa buangan akan diasingkan, dicuci dan dileraikan sebelum dicairkan serta di campur dengan pigmen untuk membentuk material boleh dicetak. Perabot juga boleh dihasilkan daripada plastik jenis PET dan PS.

Print Your City bermatlamat meng-hubungkan penduduk bandar seluruh dunia dengan proses mengitar semula dan menukar sisa buangan itu kepada produk yang boleh digunakan orang ramai. Hanth Park di pusat bandar Thessaloniki menjadi lokasi awam pertama menempatkan perabot Print Your City menggunakan 800 kilogram sisa plastik sejak Januari lalu. Ia dipilih sendiri oleh 2,900 penduduk setempat melalui undian.

Pengasasnya berharap sejumlah empat tan sisa plastik dapat dikitar semula sepanjang projek itu berjalan. – Agensi