Wednesday, February 19, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trauma Dortmund belum pulih

    BERLIN, 14 April – Pasukan Borussia Dortmund menghadapi cabaran sukar untuk pulih dari serangan bom pada Selasa lalu ke atas bas pasukan mereka ketika mereka bersedia untuk menghoskan Eintracht Frankfurt dalam Bundesliga pada hujung minggu ini.

    Pemain dan kakitangan dalam keadaan yang terkejut selepas bas pasukan mereka digegarkan dengan tiga letupan dalam laluan ke Signal Iduna Park menjelang pertemuan mereka menentang Monaco dalam persaingan Liga Juara-Juara.

    Pemain pertahanan, Marc Bartra menjalani pembedahan kecemasan ke atas pergelangannya yang mengalami keretakan dan perlu mengeluarkan kaca yang mengenai lengannya selepas letupan tersebut memecahkan jendela bas pasukan Dortmund. Rakan sepasukannya juga merasakan kesan psikologi, tewas 3-2 kepada Monaco selepas perlawanan suku akhir pertama mereka ditunda pada Rabu lalu.

    Kebanyakan dalam skuad Dortmund berkata mereka tidak mahu beraksi, sementara pengurus pasukan Thomas Tuchel menyelar keputusan terhadap penjadualan semula perlawanan kurang dari 24 jam selepas sepak yang telah dirancang.

    “Melainkan anda telah melaluinya, anda tidak akan faham bagaimana teruknya keadaan itu bagi kami,” kata pemain pertahanan, Sorkratis Papastathopoulos.

    Para pemain Dortmund masih dalam keadaan trauma ketika bermain menentang Monaco dalam aksi Liga Juara-Juara, meskipun perlawanan ditunda selama 24 jam. – AP
    Para pemain Dortmund masih dalam keadaan trauma ketika bermain menentang Monaco dalam aksi Liga Juara-Juara, meskipun perlawanan ditunda selama 24 jam. – AP

    “Saya hanya gembira kerana hidup, ia adalah hari yang paling teruk dalam kehidupan saya,” tambahnya, yang merujuk kepada malam serangan tersebut.

    Tuchel mendakwa UEFA menangani isu Dortmund itu seolah-olah hanya dilemparkan ‘tin minuman’ terhadap bas mereka.

    Tetapi badan induk bola sepak Eropah itu menolak dakwaan itu, yang menegaskan kedua buah kelab bersetuju untuk beraksi pada Rabu.

    Polis Jerman masih memburu penjenayah dan seorang pegawai juga mengalami kecederaan dalam letupan tersebut.

    Tuchel pasti akan menggilirkan skuadnya, yang berada di tangga keempat, bagi memberikan mereka yang terjejas dengan insiden itu masa untuk pulih daripada kesan serangan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda