Tren monorel empat gerabak tingkat ciri keselamatan

KUALA LUMPUR, 23 OGOS – Penggunaan sepenuhnya 12 set tren monorel empat gerabak yang dijangka beroperasi pada hujung tahun depan, bukan sahaja akan memberi lebih keselesaan sebaliknya turut meningkatkan ciri-ciri keselamatan kepada penumpang.

Ketua Pegawai Operasi Laluan Monorel Rapid Rail Sdn Bhd Mohd Ariffin Idris berkata, pengoperasian kesemua tren empat gerabak itu akan mengaktifkan sistem pintu penghadang automatik yang terdapat di platform.

Menurutnya, buat masa ini sistem pintu penghadang automatik di semua stesen masih belum berfungsi sepenuhnya, ekoran perbezaan penggunaan tren.

“Buat masa ini, perkhidmatan monorel beroperasi masing-masing dengan lima set tren empat gerabak dan dua gerabak.

“Operasi bagi tren empat gerabak dan dua gerabak adalah berbeza, sebab itu pintu berkenaan sentiasa terbuka,” katanya kepada Bernama.

Justeru, Mohd Ariffin berharap agar kejadian terjatuh di landasan monorel tidak akan berulang kembali.

Menurutnya, sebanyak 18 kes seumpama itu yang melibatkan lima orang kurang upaya (OKU) dan 13 orang awam dilaporkan sejak 2016. – Bernama

Mohd Ariffin Idris pada temu bual bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) baru-baru ini. – Bernama