Trend Bermain basikal Fixie semakin digemari

Oleh Nurdiyanah R.

Gaya rekaan yang ringkas dan elegan serta dihiasi dengan keindahan warna yang begitu ‘fancy’ sehingga mampu memukau mata seseorang bagai jatuh cinta pada pandang pertama, itulah yang dapat digambarkan mengenai keunikan basikal yang dikenali sebagai basikal fixie atau ‘fixie-bike’.

Jenis basikal yang lebih digemari dalam kalangan generasi muda ketika bersantai ini sememangnya mula diperkenalkan pada tahun 1950an namun kewujudannya semakin menjadi trend dalam kalangan golongan muda bukan sahaja di negara ini bahkan juga meliputi masyarakat di arena antarabangsa.

100 penggemar basikal fixie

Sehubungan dengan itu, sebagai matlamat menarik minat masyarakat terutama para belia di negara ini untuk bergiat aktif dalam sukan berbasikal dengan gaya yang sihat, Begawan Fixed Gear dengan sokongan Big BWN Project telah mengadakan Pertandingan Basikal Fixie bertempat di perkarangan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), baru-baru ini.

Pertandingan yang juga bertujuan bagi menghidupkan suasana di ibu negara, yang mana sekali gus merupakan salah satu aktiviti bagi memeriahkan acara BWN Street Fest II di ibu negara itu, yang telah disertai oleh hampir 50 orang peserta dari keempat-empat buah daerah yang mana turut dimeriahkan dengan kehadiran seramai 100 orang penggemar sukan outdoor berkenaan.

Kaki jadi pengganti brek

Adapun ‘fixie’ merupakan nama yang timbul daripada perkataan ‘fixed-gear’ kerana basikal ini tidak mempunyai ‘freewheel’.

Antara persembahan yang ditonjolkan oleh para peserta semasa berlangsungnya Pertandingan Basikal Fixie di perkarangan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sekali gus memeriahkan lagi acara BWN Street Fest II di ibu negara, baru-baru ini.
Hadiah disampaikan kepada salah seorang pemenang yang mengikuti Pertandingan Basikal Fixie, baru-baru ini.

Ia tidak seperti basikal lain, pengayuh basikal fixie akan tetap berpusing ketika basikal ini bergerak walapun kaki si pembawa basikal tidak mengayuhnya.

Oleh sebaba ini basikal fixie tidak mempunyai brek dan untuk memberhentikan basikal ini haruslah menggunakan kaki bahkan ia boleh dikayuh secara mengundur ke belakang.

Manakala untuk memberhentikan basikal fixie, penunggang harus menggunakan tenaga yang kuat untuk menghalang pengayuh dari berpusing dan menyebabkan basikal itu menggelongsor. Perbuatan ini dipanggil sebagai ‘skidding’.

Menerapkan nilai disiplin yang tinggi

Dalam pada itu, seperti basikal BMX, fixie juga mempunyai kemahiran atau ‘trick’ yang tersendiri yang boleh dilakukan oleh penunggang yang mahir yang mana ia sememangnya mempunyai kebaikan tertentu terutamanya bagi melatih otot kaki.

Ini kerana para penunggang basikal fixie tidak dibenarkan untuk ‘coasting’. Hal ini berbeza dengan penunggang basikal biasa, di mana mereka akan merehatkan kaki dengan memberhentikan kayuhan ketika basikal masih berjalan.

Justeru, dengan adanya aktiviti sebegini, ia sememangnya sesuatu kegiatan yang amat positif diketengahkan kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan muda demi menerapkan nilai disiplin yang tinggi dalam diri mereka selain menyungkil bakat serta kreativiti dalam mereka bentuk warna basikal fixie masing-masing.