Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Trend jangkitan terus menurun

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Dalam masa satu minggu kebelakangan, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan pengurangan di mana kadar purata kes pada minggu ini iaitu sebanyak 420 kes sehari, berbanding dengan 578 kes sehari pada minggu lepas.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada sidang media COVID-19 Negara Brunei Darussalam, hari ini di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    “Sebanyak 61,348 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 4.7 peratus daripadanya adalah keputusan ART yang positif,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Menurut beliau lagi, pada hari ini, tidak ada kes berada di dalam kategori 5 yakni memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala dua kes berada di dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato menjelaskan mengenai kadar liputan vaksinasi COVID di Negara Brunei Darussalam yang mana setakat kelmarin, kekal berada di tahap yang tinggi dengan 76.1 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 8.5 peratus pula telah mendapatkan dos keempat.

    “Pada hari ini, sebanyak 385 kes baharu telah dilaporkan iaitu 384 kes hasil ujian ART dan satu kes adalah hasil dari 262 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu,” tambahnya.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyarankan orang ramai untuk terus kerjasama dalam membantu pihak kerajaan memantau penularan wabak COVID di negara ini dengan memuat naik keputusan ART masing-masing, sama ada positif atau negatif ke aplikasi BruHealth.

    “Semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara dari segala bencana dan wabak penyakit serta berada di dalam perlindungan Allah SWT jua,” tambahnya.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menghadiri sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh James Kon

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...