LONDON – Daripada pakaian joging kepada gaun musim panas, Lea Baecker telah menjahit kebanyakan koleksi pakaiannya sendiri di pangsapurinya di London, sebahagian daripada tukang jahit amatur muda yang semakin berkembang pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Seperti kebanyakan orang yang suka menjahit sendiri, dia telah menjadi semakin kecewa dengan industri pakaian runcit, menganggapnya sebagai terlalu membinasakan.
“Motivasi utama saya bukan membeli pakaian yang sudah siap dijahit disebabkan saya tidak mahu menyokong fesyen pakaian yang dihasilkan di pasaran secara besar-besaran,” beritahu Baecker, 29, kepada AFP, merujuk kepada pakaian yang dijahit dan dijual dengan murah dan dibuang selepas dipakai.
Pelajar ijazah kedoktoran dalam sains saraf itu hanya mula menjahit pada 2018, bermula dengan beg kecil sebelum beralih kepada pakaian.
Empat tahun kemudian, dia menganggarkan 80 peratus daripada pakaian dalam almarinya dijahit sendiri, daripada pijama kepada kot bulu biri-biri panjang, serta jean yang dibuat daripada sisa-sisa denim yang dibuang oleh saudaranya.
Baecker kini ‘jarang sekali’ membeli pakaiannya baharunya,” tambahnya, memakai salah satu gaun jahitan tangannya sendiri.
Industri fesyen dan tekstil adalah sektor ketiga paling tercemar di seluruh dunia selepas makanan dan pembinaan, menyumbang kepada 5 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau, menurut laporan 2021 oleh Forum Ekonomi Dunia.
Peruncit fesyen kos murah sering dikritik disebabkan pembaziran dan pencemaran, serta syarat-syarat bayaran yang dikenakan ke atas pekerja mereka.
Tara Viggo amat mengenali fesyen moden, setelah bekerja dalam industri tersebut selama 15 tahun sebagai pembuat corak.
“Saya tahu skala industri fesyen dan ia agak menakutkan,” beritahunya kepada AFP.
Pada tahun 2017, Viggo memutuskan untuk mencipta coraknya sendiri – lakaran di atas kertas sebelum pakaian dihasilkan.
Dia memulakan secara kecil-kecilan, hanya menjual satu set corak setahun, jauh lebih kurang daripada empat sehari yang kadangkala dihasilkannya dalam industri pakaian yang sedia dipakai.
Viggo mengaku operator bebas seperti dirinya hanya merupakan pesaing kecil berbanding jenama terkenal, namun menegaskan mereka masih memberikan impak bermakna.
“Lebih ramai di antara kami melakukannya, lebih baik,” menurutnya. “Ia bagai satu pencetus. Orang mula melihat di mana pasaran mereka,” ujarnya, menambah ia juga membuat awda sedar kos sebenar yang terbabit.
“Sebaik sahaja awda tahu bagaimana menjahit pakaian awda sendiri, awda tidak dapat menduga sehelai kemeja patut berharga £3 (AS$4.10) lagi.”
Baju ‘jumpsuit’ Zadie yang dijahit Viggo kini amat popular di ‘The Fold Line’, platform dalam talian yang menjual corak jahitan yang dihasilkan secara bebas, menurut pengasas bersama Rachel Walker.
Sejak dilancarkan pada 2015, laman web itu telah berkembang daripada kira-kira 20 pereka fesyen kepada lebih 150 hari ini.
Rosie Scot dan Hannah Silvani, yang menguruskan sebuah bengkel menjual fabrik daripada stok pereka fesyen yang tidak terjual di London, juga telah melihat peningkatan dalam kepopularan jahitan, terutamanya dalam kalangan orang muda.
“Pelanggan telah berubah,” kata Scott.
“Semakin ramai orang muda telah menunjukkan minat dalam menjahit – orang muda yang benar-benar berminat dalam menjahit pakaian mereka sendiri dan menjadikan mereka mampan.”
Kaum wanita membentuk lebih 90 peratus daripada pelanggan, menurutnya.
Pelanggan boleh memilih daripada kira-kira 700 fabrik berjenama, dijual dari harga £8 semeter untuk voile kapas – fabrik kapas yang nipis dan ringan – kepada £110 untuk kain renda yang sama panjang.
“Tempahan meningkat semasa pandemik dan kami masih mampu bertahan meskipun pembatalan sekatan,” kata Scott.
Ledakan pertumbuhan dalam sektor itu tidak mungkin dicapai tanpa Instagram, di mana komuniti tukang jahit telah menjadikan kegiatan masa lapang yang sebelum ini dilihat sebagai tidak popular jauh lebih moden dan bergaya.
Platform perkongsian gambar itu ‘benar-benar penting’, kata Baecker, membenarkan tukang jahit memuatnaik gambar rekaan mereka dan berhubung di antara satu sama lain.
Ia mendorongnya menyertai rangkaian sosial berkenaan, di mana dia sering mengongsikan hasil rekaan terbaharunya.
“Saya dapati setiap corak mempunyai hashtag khusus yang boleh awda cari dan seterusnya awda boleh melihat ramai orang memakai corak yang sama dan awda boleh bayangkan bagaimana ia kelihatan pada diri awda sendiri,” jelasnya.
Misalnya, #Zadiejumpsuit hasil jahitan Viggo – yang datang dalam fabrik baldu atau kapas, dengan atau tanpa lengan – telah diberi teg dalam hampir 11,000 pos.
Sementara itu, hashtag #handmadewardrobe dipaparkan dalam lebih 900,000 pos.
Dengan Baecker berkongsi kebanyakan hasil rekaannya, dia juga memberi inspirasi kepada kawannya untuk menyertai revolusi menjahit yang semakin berkembang itu.
“Ia merupakan pencapaian paling membanggakan bagi diri saya…mendorong kawan saya menjahit juga,” katanya. – AFP