Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Trend pemindahan buah pinggang masih rendah

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Negara Brunei Darussalam berada di kedudukan antara negara dengan prevalens tertinggi kegagalan buah pinggang di seluruh dunia pada tahun 2021 dan hampir 80 peratus daripadanya disebabkan oleh diabetes manakala 85 peratus rawatan di negara ini adalah melalui rawatan dialisis.

    Trend kegagalan buah pinggang di Brunei sejak 10 tahun lalu menunjukkan bilangan pesakit meningkat setiap tahun, dengan kira-kira 893 pesakit pada 2021. Daripada jumlah itu, 732 pesakit menjalani dialisis dan hanya kira-kira 47 pesakit menjalani rawatan pemindahan.

    Ini menunjukkan hanya sebahagian kecil daripada para pesakit kegagalan buah pinggang dirawat dengan pemindahan, menurut Perunding Jabatan Perkhidmatan Renal (Nefrologi), Profesor Dr Jackson Tan Chee Seng pada sesi temu bual bersama media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Profesor Dr Jackson seterusnya menjelaskan, Brunei masih lagi antara negara terendah di dunia untuk pemindahan sebagai rawatannya, konsisten dengan trend di negara membangun dan Asia Tenggara, hanya 5 peratus memilih kaedah tersebut.

    Menurutnya, pesakit pemindahan mempunyai jangka hayat yang lebih lama berbanding pesakit yang menjalani dialisis, dan pesakit pemindahan yang lebih muda mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk hidup tiga kali lebih lama berbanding mereka yang menjalani dialisis.

    Profesor Dr Jackson Tan Chee Seng (kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Perkhidmatan Renal Kementerian Kesihatan, Hajah Wan Aslina binti Haji Ibrahim semasa sesi temu bual media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
    Profesor Dr Jackson Tan Chee Seng (kiri) dan Hajah Wan Aslina bergambar bersama pesakit dan penderma buah pinggang semasa sesi temu bual media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Perkhidmatan Renal, Hajah Wan Aslina binti Haji Ibrahim turut menekankan kualiti dan peningkatan jangka hayat lebih lama bagi pesakit menjalani rawatan pemindahan buah pinggang itu.

    Menurut Hajah Wan Aslina, sebelum tahun 2013, pesakit terpaksa ke luar negara untuk menjalani pemindahan buah pinggang dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Namun program pemindahan buah pinggang telah pun dilancarkan di dalam negara oleh Kementerian Kesihatan sejak 21 November 2013, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pesakit menjalani rawatan pemindahan di sini.

    Menurutnya, sejak 1993, seramai 29 pesakit telah menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang sama ada di Singapura atau Malaysia, yang dihantar oleh Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Renal.

    “Pesakit biasanya akan berada di luar negara untuk tempoh yang lama antara tiga hingga enam bulan sebelum dibenarkan pulang ke Brunei untuk rawatan susulan,” tambahnya.

    Sehubungan itu, menjalani rawatan pemindahan di dalam negara adalah lebih baik untuk pesakit berdasarkan bukti kajian yang menunjukkan bahawa dengan kehadiran ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat yang menemani pesakit, mereka dapat memberi dorongan, sokongan moral dan motivasi kepada pesakit, seterusnya menjalani tempoh pemulihan yang cepat.

    “Program pemindahan buah pinggang pertama telah dijalankan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pada 21 November 2013, dengan penglibatan sekumpulan doktor tempatan,” katanya sambil menambah bahawa sejak itu, sebanyak 15 kes pembedahan pemindahan buah pinggang telah berjaya dilakukan di negara ini. Program pemindahan buah pinggang ke-15 telah dijalankan pada 12 Mei 2022, selepas berhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19 di negara ini.

    “Alhamdulillah, kedua-dua penerima dan penderma buah pinggang berada dalam keadaan baik. Doktor tempatan kita telah membuktikan keupayaan mereka selama ini apabila berjaya melakukan pemindahan buah pinggang dan pengurusan kesihatan pesakit,” tambahnya.

    Profesor Dr Jackson dalam temu bual itu turut mengongsikan kos pemindahan yang menurutnya lebih murah berbanding kos dialisis yang mana dialisis menelan antara $30,000 hingga $40,000 setahun bagi setiap pesakit.

    Beliau turut mengongsi halangan bagi program tersebut seperti kekurangan penderma yang sesuai dan cergas, kesedaran orang ramai, serta ketakutan, kebimbangan atau kurang keyakinan terhadap pesakit kegagalan buah pinggang, selain dengan keadaan wabak COVID.

    Turut hadir semasa sesi temu bual media ialah para pesakit dan penderma daripada pemindahan buah pinggang yang berjaya antaranya Awang Muhammad Azizi bin Haji Azalani dan penderma Dayang Nur Afiqah binti Haji Azalani yang serba sedikitmenceritakan pengalaman mereka.

    Mereka turut bersetuju bahawa operasi pemindahan itu tidak perlu dikhuatirkan kerana pemulihan mereka adalah cepat, antara dua hingga tiga hari, dan sokongan moral yang mereka terima daripada satu sama lain sebagai ahli keluarga serta dalam kalangan pesakit lain turut membantu dalam menjalani program pemindahan buah pinggang itu.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...