Tripoli dibedil roket tentera Haftar

TRIPOLI, 14 APRIL – Bedilan roket pasukan tentera Libya di bawah Komander Khalifa Haftar menghujani ibu negara Libya awal pagi tadi selepas berjaya dikalahkan oleh pejuang Kerajaan Perpaduan Kebangsaan Libya (GNA).

Menurut wartawan AFP, serangan demi serangan menyebabkan letupan kuat berterusan sepanjang malam.

Beberapa buah rumah di sekitar pangkalan udara Mitiga juga musnah dalam serangan itu, namun sehingga kini tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

GNA, yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menuduh tentera Haftar membalas dendam terhadap rakyat Tripoli selepas kekalahan mereka semalam.

“Militia dan askar upahan telah melepaskan kemarahan mereka terhadap penempatan penduduk di Tripoli sebagai membalas dendam atas kekalahan mereka. “Puluhan roket dan peluru berpandu dilepaskan ke setiap arah,” kata jurucakap Mohamad Gnounou.

Semalam, pejuang Kerajaan Perpaduan Kebangsaan berjaya menakluki bandar Sorman dan Sabratha serta beberapa bandar lain.

Sorman dan Sabratha masing-masing terletak kira-kira 60 serta 70 kilometer dari Tripoli dan tidak jauh dari sempadan Tunisia. Pertembungan puak bertelagah sebelum ini merekodkan lebih 280 orang awam dan 2,000 pejuang terbunuh, manakala puluhan ribuan yang lain bertempiaran mencari perlindungan sehingga gencatan senjata hasil sokongan Ankara dan Moscow dicapai pada 12 Januari lalu. – AFP

Pejuang yang setia kepada Kerajaan Perpaduan Nasional meraikan kemenangan di bandar Sabratha selepas berjaya merampas dua bandar di antara Tripoli dan sempadan Tunisia daripada tentera Khalifa Haftar. – AFP