Trudeau terima tamparan baharu

OTTAWA, 5 Mac – Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menerima kejutan terbaharu apabila menteri belanjawan negara itu meletakkan jawatannya, semalam, dalam satu siri terbaharu para pegawai di negara itu meletakkan jawatan mereka berikutan dakwaan campur tangan kerajaan berhubung satu kes penipuan terbesar.

Jane Philpott yang juga memegang jawatan presiden Lembaga Perbendaharaan berkata dia tidak lagi berasa yakin terhadap kerajaan Trudeau berhubung dakwaan bahawa para pegawai kanan cuba memintas pendakwaan syarikat gergasi kejuruteraan SNC-Lavalin.

“Saya telah menimbangkan perkara-perkara yang telah menggoyahkan kerajaan persekutuan dalam beberapa minggu kebelakangan dan selepas memikirkan dengan serius saya membuat kesimpulan bahawa saya perlu meletak jawatan sebagai anggota kabinet,” kata Philpott di Twitter.

“Prinsip-prinsip yang diperjudikan ialah kebebasan dan integriti sistem keadilan negara ini. Malangnya saya telah hilang keyakinan bagaimana kerajaan menangani perkara tersebut dan bagaimana ia memberi respons terhadap isu-isu yang dibangkitkan.”

Philpott dikatakan memiliki hubungan rapat dengan bekas menteri kehakiman dan peguam negara, Jody Wilson-Raybould, yang mencetuskan krisis dalam kerajaan Liberal Trudeau.

Bulan lalu, Wilson-Raybould memberi keterangan di hadapan Dewan Jawatankuasa Keadilan Rakyat bahawa Trudeau dan orang-orang yang rapat dengannya, telah menggunakan tekanan yang ‘tidak wajar’ ke atasnya, termasuklah ‘ancaman tersembunyi’ berkaitan campur tangan dalam pendakwaan ke atas SNC-Lavalin.

Dia berkata sejak September hingga Disember 2018, para pegawai ‘memburunya’ untuk meminta agar pihak pendakwa menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah. – AFP

Trudeau berucap semasa menghadiri Perhimpunan Tindakan Iklim Liberal di Toronto, kelmarin. – AP