Trump amat memalukan – Biden

WASHINGTON, 1 OKT – Kempen diterajui Donald Trump digambarkan sebagai mengundang malu di peringkat nasional kerana gagal mematahkan desakan dicetuskan kumpulan keturunan kulit putih.

Ahli demokrat yang juga calon Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, ketika mengemukakan dakwaan itu berkata situasi sedemikian timbul angkara kenyataan Trump ketika debat Presiden, tempoh hari.

“Pembawaan Presiden AS, pada saya adalah memalukan di peringkat nasional. Mesej saya kepada Proud Boys dan ahli kumpulan keturunan kulit putih yang lain ialah, berhenti dan elakkan. Itu bukan diri kita yang sebenar. Ini bukan pembawaan kita sebagai rakyat Amerika,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Alliance, Ohio, semalam. Sementara itu, Trump ketika cuba meredakan ketegangan yang tercetus daripada kenyataannya meminta kumpulan keturunan berkenaan untuk hentikan sebarang tindakan balas.

“Saya tidak tahu siapa Proud Boys, tetapi sesiapa pun mereka, mereka perlu berhenti sekarang. Cukuplah. Biar pihak berkuasa undang-undang jalankan tugas mereka. Siapa pun mereka, hentikan,” katanya kepada pemberita di Rumah Putih. – AFP