Trump ancam tutup media sosial

WASHINGTON, 28 MEI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam mengancam mahu menutup platform media sosial selepas Twitter buat pertama kali bertindak terhadap ‘tweet palsu’ beliau.

Trump akan menandatangani satu perintah eksekutif ‘berkaitan media sosial’ hari ini, kata pembantu presiden, tetapi tidak mengulas lanjut mengenai isi kandungannya.

Twitter memetik dua tweet beliau membabitkan dakwaan bahawa undian secara pos akan menjurus kepada ‘pemilihan yang diseleweng’ pada November ini.

Berikutan tiada bukti disertakan mengenai cubaan untuk menyeleweng pemilihan, Twitter menyiarkan pautan yang berbunyi: ‘Dapatkan fakta mengenai undi pos.’

Tindakan Twitter itu menyebabkan Trump berang dan melipatgandakan usaha bagi mengambil tindakan walaupun dakwaannya tidak berasas dan hanya bersandarkan teori konspirasi.

Luahan kemarahan beliau terhadap Twitter turut menjadi antara 10 hashtag dengan trending tertinggi iaitu #TrumpMeltdown.

Sebelum ini, Twitter didakwa sering menutup mata ketika Trump melanggar terma dan syarat platform berkenaan, apabila tweet berunsur penghinaan peribadi dan maklumat tidak tepat dihantar kepada lebih 80 juta pengikutnya.

Bagaimanapun, tindakan Twitter kali ini membuatkan Trump berang dan mendakwa hak politik di AS kini ditapis.

“Kita akan kawal atau tutup mereka sebelum kita benarkan perkara ini berlaku,” katanya. – AFP