Trump, Biden berentap siaran televisyen

WASHINGTON, 16 OKT – Donald Trump dan pencabarnya, Joe Biden, saling bersaing dalam mengadakan siaran langsung dialog awam di televisyen, selepas beberapa pegawai orang kenamaan dilaporkan positif COVID-19.

Berikutan tertinggal jauh di belakang seterunya menjelang pemilihan, 3 November depan, Trump bakal menggerakkan usaha untuk mengetepikan Biden menerusi sesi dialog awam di NBC pada masa yang hampir sama dengan waktu Biden dijadualkan tampil di siaran ABC.

Berucap di hadapan penyokong ketika perhimpunan di Greenville, Carolina Utara, Trump mencuit hati pasukan tegarnya dengan menjanjikan suatu kejutan yang bakal berlaku, malam ini.

“Tengok malam ini. Kita akan adakan sedikit hiburan. Sudah semestinya, Biden akan mendapat ‘layanan mudah’ daripada moderator dan penonton ketika tampil di siaran ABC.

“Saya pula bakal menempuh ‘perangkap’,” katanya disahut sorakan dari penyokong.

Keputusan NCA untuk menerima penampilan Trump pada waktu sama Biden muncul di siaran ABC bermaksud warga Amerika Syarikat (AS) berdepan kekangan untuk menonton kedua-dua calon pemilihan presiden itu dan membuat perbandingan secara langsung.

Strategi itu dilihat lebih sinonim dengan Trump, dalam usaha menyingkirkan pesaingnya daripada parti Demokratik, selain sering ‘membolot’ siaran media untuk kepentingan kempen.

Bagaimanapun, Trump ketika ini ketinggalan jauh ke belakang, memandangkan tempoh sebelum pemilihan presiden berlangsung kini hanya berbaki 19 hari. – AFP

Presiden Donald Trump bercakap semasa kempen di Lapangan Terbang Pitt-Greenville pada 15 Oktober di Greenville. – AP