Trump catat rekod tidak cetuskan perang baharu

WASHINGTON, 20 JAN – Presiden Donald Trump semalam menyampaikan ucapan perpisahan menjelang pelantikan penggantinya, menyebut beliau mencatat rekod apabila tidak mencetuskan perang baharu sepanjang memegang jawatan itu, lapor agensi Anadolu.

“Saya sangat bangga menjadi Presiden pertama dalam beberapa dekad yang tidak memulakan perang baharu,” kata Trump dalam sebuah video, serta mengucapkan terima kasih kepada anggota pentadbirannya.

Di awal ucapannya, Trump berkata beliau memulakan visi untuk ‘menjadikan Amerika kembali hebat,’ slogan yang sering diungkapkan dalam ucapannya dan ‘kami melakukan apa yang sepatutnya – dan banyak lagi.’

“Minggu ini, kita melantik pentadbiran baharu dan didoakan semoga berjaya menjaga keamanan dan kesejahteraan Amerika,” katanya, sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada penggantinya Joe Biden.

Di Timur Tengah pula, Trump mengimbau kejayaan Amerika Syarikat (AS) mengalahkan Daesh dan membunuh pemimpinnya.

Menurutnya, semasa tempoh pentadbirannya, Washington juga mengakui Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan mengiktiraf kedaulatan rejim itu di Bukit Golan, walaupun mencetuskan kemarahan antarabangsa. – Bernama

Gambar Presiden Donald Trump menyampaikan ucapan perpisahan kepada negara dalam video yang disiarkan di YouTube kelihatan di monitor dalam Bilik Taklimat Brady di Rumah Putih di Washington pada 19 januari 2021. – AFP