Trump cuba berhubung dengan pemimpin-pemimpin luar

WASHINGTON, 29 Jan – Presiden AS Donald Trump akan bercakap melalui telefon dengan para pemimpin Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini, di tengah kegemparan ekoran tegahan perjalanan ke atas sebilangan negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam.

Trump juga akan bercakap dengan pemangku presiden Korea Selatan, Hwang Kyo-Ahn, menurut Rumah Putih semalam dalam kenyataan ringkas.

Presiden Republikan baru itu, yang telah mengambil alih jawatan presiden pada 20 Januari lalu, pertama sekali akan bercakap dengan Raja Salman dari Arab Saudi di sebelah tengah hari.

Panggilan seterusnya ialah dengan putera mahkota UAE, Mohammed bin Zayed Al Nahyan.

Arab Saudi mahupun UAE bukanlah di kalangan tujuh negara yang terjejas oleh arahan eksekutif Trump Jumaat lalu yang menegah visa selama 90 hari ke atas penghijrah atau pelawat dari Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

Presiden Donald Trump bercakap dalam telefon bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di Pejabat Oval, Rumah Putih pada 28 Januari di Washington, DC. – AFP
Presiden Donald Trump bercakap dalam telefon bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di Pejabat Oval, Rumah Putih pada 28 Januari di Washington, DC. – AFP

Tindakan ke atas penghijrah, yang juga termasuklah penggantungan 120 ke atas program penempatan orang pelarian AS, telah mencetuskan bantahan di seluruh AS semalam.

Rancangan panggilan telefon Trump bersama pemangku presiden Korea Selatan dibuat ketika Korea Utara meningkatkan kemampuan nuklear dan peluru berpandunya.

Program peluru berpandu Pyongyang dan usaha senjata nuklearnya telah mengundang sekatan berulang kali dari Majlis Keselamatan PBB.

Pemimpin rejim itu, Kim Jong-Un berkata dalam ucapan Tahun Baru bahawa negara itu dalam ‘peringkat akhir’ memajukan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM). ICBM seumpama itu secara teori boleh menyasarkan AS. – AFP