Trump dakwa kepimpinan Pentagon ingin ‘gembirakan’ kontraktor pertahanan

WASHINGTON, 8 SEPT – Presiden Donald Trump Isnin lalu menuduh kepemimpinan Pentagon menginginkan perang untuk ‘menggembirakan’ kontraktor pertahanan, menurut laporan Agensi Anadolu (AA).

“Saya tidak mengatakan pihak tentera sukakan saya; tetapi askar-askar itu ya ,” kata Trump pada sidang media Rumah Putih.

“Pihak atasan di Pentagon mungkin tidak kerana mereka tidak mahu melakukan apa-apa selain berperang sehingga semua syarikat hebat yang membuat bom dan pesawat serta pengeluar yang lain terus gembira,” tambahnya.

AA melaporkan Trump mengeluarkan kenyataan itu beberapa hari selepas beliau mengecam keras laporan bahawa beliau menghina korban perang Amerika.

Memetik sumber yang tidak disebutkan namanya, majalah The Atlantic pada Khamis melaporkan semasa kunjungan ke Perancis pada 2018, Trump membatalkan lawatan ke Tanah Perkuburan Amerika Aisne-Marne berhampiran Paris iaitu lokasi korban Perang Dunia Pertama Amerika dikebumikan kerana beliau tidak menghormati orang-orang yang dikebumikan di lokasi tersebut.

“Mengapa saya harus pergi ke tanah perkuburan itu? Ia dipenuhi dengan mereka yang kalah,“ kata Trump kepada pekerja kanan ketika itu, menurut majalah itu. – Bernama