Trump dedah garis panduan buka semula negeri AS

WASHINGTON, 17 APRIL – Presiden Donald Trump semalam mendedahkan garis panduan untuk membuka semula sebahagian ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang terjejas akibat pandemik COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

“Pakar kami mengatakan lengkung jangkitan sudah mendatar dan puncak jangkitan sudah berlalu. Lebih 850 daerah atau hampir 30 peratus negeri tidak melaporkan kes baharu dalam tujuh hari terakhir,” kata Trump pada sidang media di Rumah Putih.

“Berdasarkan data terbaharu, pasukan pakar kami bersetuju kami boleh memulakan langkah seterusnya, apa yang kami gelar ‘membuka semula Amerika,’ dan itulah yang kami lakukan,” katanya. Trump berkata ‘lockdown bukanlah penyelesaian jangka panjang yang mampan dan lockdown berpanjangan, digabungkan dengan kemerosotan ekonomi akan menyebabkan kesusahan lebih besar.’

“Justeru, pentadbiran saya mengeluarkan garis panduan persekutuan baharu membolehkan gabenor mengambil pendekatan berperingkat untuk membuka semula negeri masing-masing,” kata presiden.

Antara kriteria untuk membuka semula ekonomi, termasuk setiap negeri atau wilayah perlu menunjukkan penurunan gejala COVID-19 dan kes positif dalam masa 14 hari dan hospital mempunyai kemampuan yang cukup untuk menangani semua kes jangkitan.

“Kami tidak membukanya serentak tetapi berperingkat dan berhati-hati,” kata Trump. Garis panduan itu dikeluarkan selepas Federal Reserve pada Rabu mengatakan aktiviti ekonomi ‘menguncup secara mendadak’ di semua wilayah di AS akibat pandemik COVID-19. – Bernama

Presiden Donald Trump bercakap mengenai koronavirus di Bilik Taklimat Media James Brady, Rumah Putih pada 16 April di Washington. – AP