Trump dituduh cuba pecah belah rakyat AS

WASHINGTON, 4 JUN – Bekas ketua Pentagon, Jim Mattis, semalam menyelar bekas majikannya, Presiden Donald Trump dan menuduh pemimpin itu cuba memecah belah penduduk Amerika, selain gagal menampilkan pentadbiran yang matang, susulan bantahan berleluasa di negara itu.

Mattis, yang meletak jawatan pada Disember 2018, berikutan arahan Trump agar tentera Amerika Syarikat (AS) berundur sepenuhnya dari Syria, turut melahirkan sokongan kepada tunjuk perasaan anti perkauman itu.

“Donald Trump ialah presiden pertama dalam sejarah hidup saya yang tidak pernah cuba menyatukan penduduk Amerika, malah langsung tidak mahu mencuba.

“Beliau sebaliknya cuba memecahbelahkan kita,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan secara atas talian oleh The Atlantic.

Jeneral Marin itu sebelum ini berkata, adalah tidak wajar baginya untuk mengkritik seorang presiden yang masih berkuasa.

“Kita sedang menyaksikan kesan buruk akibat pemerintahan yang tidak matang selama tiga tahun,” katanya.

Mattis menggambarkan dirinya sebagai marah dan terkejut selepas menyaksikan insiden minggu lalu, apabila Trump mengancam untuk melancarkan operasi ketenteraan di seluruh negara, berikutan bantahan yang bertukar ganas di beberapa negeri.

Kemarahan itu tercetus menerusi pembunuhan lelaki kulit hitam, George Floyd pada 25 Mei lalu oleh seorang anggota polis kulit putih, yang menggunakan lututnya untuk menekan leher mangsa selama lebih sembilan minit.

Kebanyakan tunjuk perasaan itu berlangsung dalam suasana aman, namun bertukar menjadi ganas di beberapa lokasi. – AFP

Pegawai polis menyembur gas pemedih mata pada pembantah di jambatan bandar Crescent di New Orleans pada 3 Jun 2020. – AP