Trump fail petisyen cabar keputusan p’raya

WASHINGTON, 21 DIS – Pasukan kempen Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memfailkan petisyen ke Mahkamah Agung AS bagi mencabar keputusan pilihan raya presiden di Pennsylvania , lapor agensi berita Sputnik.

“Kempen Trump memfailkan petisyen meminta Makamah Agung mengeluarkan surat perintah untuk membatalkan tiga keputusan pilihan raya Pennsylvania yang secara tidak sah mengubah undang-undang undi pos Pennsylvania sebelum dan sesudah pilihan raya presiden 2020,” kata pasukan Trump di Twitter pada Ahad.

Menurut peguam Trump, Rudy Giuliani, petisyen itu memohon perintah yang membolehkan perundangan Pennsylvania memberikan 20 undi elektoral kepada Trump.

Awal bulan ini, Trump mengatakan Mahkamah Agung ‘benar-benar telah mengecewakan kita’ kerana institusi itu menolak untuk mencabar keputusan pemilihan presiden di Wisconsin, Georgia, Pennsylvania, dan Michigan, selepas tuntutan mahkamah dikemukakan oleh negeri Texas. – Bernama