Trump gantung kemasukan imigrasi

WASHINGTON, 21 APRIL – Presiden Donald Trump pada hari ini berkata beliau akan menggantung sementara kemasukan imigrasi ke Amerika Syarikat (AS) akibat pandemik koronavirus, meskipun AS telah pun menjadi negara yang paling teruk terjejas di dunia.

Trump merujuk kepada ‘musuh yang tidak dapat dilihat’, satu frasa yang digunakan untuk menggambarkan virus yang telah membunuh lebih 42,000 orang di AS, yang mempunyai lebih daripada 766,660 jangkitan.

“Disebabkan serangan daripada musuh yang tidak dapat dilihat, serta keperluan melindungi pekerjaan rakyat Amerika, saya akan menandatangani Perintah Eksekutif untuk menggantung sementara imigrasi ke Amerika Syarikat!” tulis beliau di Twitter malam semalam.

Jabatan Negara mengeluarkan kira-kira 462,000 visa imigran pada tahun fiskal 2019, sementara Perkhidmatan Rakyat dan Imigresen AS meluluskan pemastautin tetap kepada 577,000 individu.

Trump berkata tindakan itu juga akan melindungi pekerjaan warga AS, walaupun lockdown yang dikenakan untuk membendung virus telah pun meninggalkan 22 juta rakyat di AS menganggur.

Beliau tidak memberikan butir lanjut tentang tempoh masa perintah eksekutif akan dilaksanakan.

Trump mungkin menandatangani perintah eksekutif paling awal pada hari ini, lapor The Washington Post, memetik dua pegawai Rumah Putih.

Memetik pengharaman itu, Senator Demokratik California Kamala Harris berkata Trump sedang menggunakan wabak koronavirus untuk mempromosi dasar anti-imigran beliau. – AFP