Trump gesa Rusia hentikan sokongan Syria

WASHINGTON, 17 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa Rusia supaya menamatkan sokongannya terhadap rejim Syria yang didakwa sedang melakukan serangan keganasan di wilayah Idlib.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih semalam menyatakan kebimbangan AS terhadap konflik di Syria yang terus berlarutan dan mahu Rusia segera mengakhiri sokongan terhadap rejim pimpinan Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Rejim Syria semalam melancarkan serangan di lokasi strategik kubu terakhir pemberontak di Idlib, iaitu di wilayah barat laut negara itu.

Sejak Disember lalu, rejim Syria mendapat sokongan penuh tentera udara Rusia yang menyerang termasuk di wilayah Idlib, Aleppo dan Latakia.

Menurut pemerhati hak asasi manusia Syria, pertempuran dan serangan udara oleh rejim Syria berhasil sehingga mereka berjaya menawan semula semua perkampungan dan bandar kecil di Aleppo untuk pertama kalinya sejak 2012.

Untuk rekod, pada musim panas 2012, pembangkang berjaya mengalahkan tentera pro Bashar al-Assad sehingga berlaku pemecahan bandar raya apabila timur dikuasai pemisah dan rejim menguasai Barat. – AFP