Trump gesa Ukraine, China siasat Biden

WASHINGTON, 4 OKT – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump secara terbuka menggesa China dan Ukraine menyiasat calon lawan potensi pilihan raya 2020, Joe Biden, mencemuh Demokrat yang menuntut pendakwaan terhadapnya kerana mengundang campur tangan asing dalam pemilihan.

Bercakap di Florida semalam, Trump menyelar penuduhnya sebagai ‘gila’ kerana meneruskan ‘pendakwaan karut’ ketika beliau berhasrat menukar kedudukan dalam siasatan yang mengancam menjadikan beliau presiden AS ketiga dipecat dalam Dewan Perwakilan dan berdepan perbicaraan dalam Senat.

Ketika seorang bekas diplomat Jabatan Negara memberi keterangan tertutup dalam Kongres berhubung peranannya dalam skandal Ukraine, Trump malah menggesa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan pemimpin China Xi Jinping mendakwa Biden, yang mengetuai perlumbaan untuk pencalonan presiden Demokrat tahun depan.

Anggota Demokrat yang mengetuai siasatan pendakwaan dalam Dewan Perwakilan, Adam Schiff berkata, Trump bertindak ‘seolah-olah beliau bebas daripada hukuman’ ketika berdepan tindakan undang-undang.

Trump mendakwa, Biden, Naib Presiden pada 2014 cuba menyekat satu siasatan rasuah Ukraine terhadap rakan kongsi perniagaan anak lelakinya, Hunter, seorang jutawan gas di negara itu, menggunakan bantuan AS sebagai tawaran.

Beliau juga mendakwa Hunter menggunakan kedudukannya untuk mengumpul AS$1.5 bilion pada 2013 daripada China untuk satu pelaburan kenderaan baharu di Beijing.

Trump mendakwa, anak beranak itu meraih keuntungan jutaan dolar daripada urus niaga terbabit.- AFP