Trump hadiri Sidang Kemuncak APEC

KUALA LUMPUR, 20 NOV – Donald Trump akan menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berterusan menolak keputusan pilihan raya presiden yang menyaksikan beliau tewas.

Semalam, Presiden China, Xi Jinping menggunakan forum itu yang dihoskan oleh Malaysia untuk mengumumkan pertumbuhan ekonomi negara berkenaan.

Sidang Kemuncak APEC berlangsung secara maya tahun ini berikutan penularan COVID-19, menemukan 21 pemimpin negara rantau Asia Pasifik yang menjana 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

China mula menjadi kuasa utama di belakang kumpulan perdagangan rantau berkenaan selepas AS mula menarik diri daripada beberapa kerjasama pelbagai hala ketika Trump menjadi Presiden.

Presiden Xi Jinping menyampaikan ucaptama dalam forum itu semalam, memuji China sebagai negara penting kepada perdagangan global dan berikrar akan menjaga ekonominya yang besar.

Washington biasanya tidak menghantar wakil untuk berucap dalam persidangan dua hari itu tetapi pegawai tertinggi AS mengesahkan Trump menyertai sidang kemuncak itu hari ini. Trump akan menyampaikan ucapannya kepada pemimpin negara anggota tetapi lazimnya tertutup kepada media, mengikut sumber rasmi. – AFP