WASHINGTON, 27 SEPT – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump merancang untuk mengehadkan kemasukan pelarian kepada 18,000 orang pada tahun fiskal 2020, berkurangan dari 30,000 pada tahun fiskal 2019, lapor agensi berita Turki, Anadolu memetik kenyataan Jabatan Negara.
Kemasukan pelarian adalah sebanyak 110,000 orang ketika Trump mengambil alih jawatan presiden. Jabatan Negara, Keselamatan Dalam Negeri serta Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia telah menyerahkan laporan tahunan Trump kepada Kongres.
“Penetapan rasmi presiden berkaitan Jumlah Kemasukan Pelarian bagi Tahun Fiskal 2020 akan dikeluarkan selepas berunding dengan Kongres,” menurut Jabatan Negara.
AS menjangkakan menerima lebih 368,000 pelarian baharu dan permohonan suaka dalam tahun fiskal itu. “Daripada jumlah itu, 18,000 akan menjadi pelarian yang kami cadangkan untuk diletak di bawah siling pelarian baharu; kami juga menjangkakan memproses lebih 350,000 individu dalam kes-kes suaka baharu,” kata jabatan itu. “Beban semasa ke atas sistem imigresen AS harus dikurangkan sebelum ia sekali lagi menyaksikan penempatan semula sejumlah besar pelarian,” katanya. – Bernama