Trump hasrat mahu miliki Greenland

WASHINGTON, 16 OGOS – Presiden Donald Trump meminta nasihat jika Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan akan membeli Greenland, menurut satu laporan.

Trump telah menyatakan minat terhadap Greenland, yang kebanyakannya diliputi oleh ais, meminta nasihat jikalau AS berkemungkinan boleh memiliki wilayah itu, kata The Wall Street Journal kelmarin, memetik sumber terdekat dalam perbincangan tersebut.

Presiden itu ingin tahu mengenai sumber semula jadi kawasan itu dan kaitannya dengan geopolitik, lapor akhbar itu. Greenland adalah rantau pemerintahan Denmark, yang menjajah pulau seluas 772,000 kilometer persegi (20 kilometer persegi) pada abad ke-18, dan menjadi rumah kepada hampir 57,000 orang, kebanyakannya komuniti asli.

Tidak ada komen rasmi dari Rumah Putih dan Kedutaan Denmark di Washington tidak segera memberi respons kepada permintaan AFP untuk memberi komen. Sesetengah penasihat Trump mengatakan memiliki Greenland, yang terletak di timur laut Kanada, berkemungkinan akan mendatangkan manfaat kepada AS, kata The Wall Street Journal.

Pihak lain di luar Rumah Putih mengatakan minat Trump boleh menjadi keinginan untuk meningkatkan kuasanya dan penasihat membayangkan hasrat itu bagi tujuan penyelidikan atau pengaruh tentera yang lebih besar untuk AS. Pangkalan tentera utara AS, Pangkalan Udara Thule, telah ditempatkan di Greenland selama beberapa dekad.

Menurut saintis, pulau terbesar di dunia itu telah mengalami perubahan iklim, mengancam untuk menenggelamkan kawasan pesisir dunia.

Julai lalu menyaksikan pencairan ais Greenland yang belum pernah terjadi sebelumnya, dengan 12 bilion tan ais mengalir ke laut. – AFP

Gambar fail pada 11 Julai 2015 menunjukkan pemandangan bandar Upernavik di barat Greenland. Trump meminta nasihat jika Amerika Syarikat berkemungkinan akan membeli Greenland, menurut satu laporan. – AP