Trump: Jangan saman jika dijangkiti COVID-19

WASHINGTON, 12 JUN – Penyokong Donald Trump yang menghadiri rapat pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) akan datang mesti menandatangani satu dokumen penepian berjanji tidak akan menyaman sekiranya mereka dijangkiti COVID-19 pada acara tersebut, menurut laman web kempennya.

Jutawan Republikan itu mengumumkan pada Rabu bahawa beliau akan meneruskan kempennya di empat negeri – Oklahoma, Florida, Arizona dan Carolina Utara – meskipun pandemik koronavirus masih terus melanda di AS.

Penyokong Trump mesti menandatangani satu dokumen penepian di laman web kempennya untuk mendaftar hadir pada rapat pertama di Tulsa, Oklahoma pada 19 Jun.

“Dengan mengklik daftar di bawah, anda mengakui risiko pendedahan COVID-19 wujud di mana-mana tempat awam di mana orang ramai hadir,” menurut dokumen itu.

“Dengan menghadiri rapat, anda dan mana-mana tetamu mengandaikan semua risiko berkaitan pendedahan kepada COVID-19 dan bersetuju tidak akan menyaman kempen Trump, atau mana-mana sekutunya, kontrak atau pekerja,” tambahnya.

Laman itu tidak menyebut mengenai langkah-langkah lain untuk mengawal penularan virus, seperti memakai penutup mulut dan hidung. – AFP