Trump kecam kursus dalam talian Harvard

WASHINGTON, 8 JULAI – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengecam Universiti Harvard semalam, menggelar keputusannya untuk mengadakan semua kursusnya secara dalam talian pada musim luruh disebabkan pandemik koronavirus sebagai ‘tidak masuk akal.’

“Saya fikir ia tidak masuk akal. Saya fikir ia merupakan jalan keluar senang. Dan saya fikir mereka patut berasa malu dengan diri mereka,” kata Trump pada perbincangan meja bulat di Rumah Putih, di mana beliau menggesa sekolah dan universiti dibuka semula untuk semester depan. Trump, yang berkempen untuk pemilihan semula pada November, telah mengambil pendekatan lebih agresif untuk membuka semula negara walaupun apabila jangkitan virus masih meningkat, terutamanya di negeri selatan dan barat.

“Semua orang mahukannya. Ibu mahukannya. Bapa mahukannya. Budak-budak mahukannya. Sudah tiba masanya untuk melakukannya,” kata beliau.

“Kami mahu membuka semula sekolah, kami mahu mereka dibuka dengan segera pada musim luruh.”

Pada Isnin, pentadbirannya berkata ia tidak akan membenarkan pelajar asing tinggal dalam negara jika kesemua kelas mereka dikendalikan dalam talian disebabkan krisis COVID-19.

Beberapa sekolah menimbang menggunakan model hibrid iaitu mengadakan kelas secara fizikal dan dalam talian namun sesetengah, termasuk Harvard, telah berkata semua kelas akan dikendalikan secara dalam talian. – AFP

Presiden Donald Trump semasa perbincangan mengenai Pembukaan Semula Sekolah Amerika di Bilik Timur, Rumah Putih pada 7 Julai 2020. – AFP