Trump kurangkan tentera AS di Iraq

WASHINGTON, 11 SEPT – Presiden Donald Trump kelmarin berkata jumlah tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan dan Iraq akan dikurangkan masing-masing sekitar 4,000 dan 2,000, dalam waktu terdekat, lapor agensi berita Xinhua.

“Banyak kemajuan telah dicapai di Afghanistan, kita akan kurangkan askar kepada 4,000 dalam waktu terdekat. Begitu juga di Iraq, sekitar 2,000,” kata Trump semasa taklimat di Rumah Putih.

Sebelum ini pada Rabu, Jeneral Kenneth McKenzie berkata kehadiran tentera AS di Iraq dijadual dikurangkan menjadi 3,000 pada akhir September dan di Afghanistan kira-kira 4,500 pada awal November. Pada masa ini, terdapat lebih 5,000 askar dikerahkan ke Iraq untuk menyokong negara ini memerangi saki-baki anggota kumpulan Daesh.

Menjelang pilihan raya presiden, Trump berusaha memenuhi janji kempennya untuk memanggil balik tentera dan tidak lagi terbabit dalam “peperangan yang tiada pengakhiran itu.”

Trump dalam taklimat sama turut mengumumkan Setiausaha Negara Mike Pompeo akan berlepas ke Qatar untuk memulakan rundingan damai intra-Afghanistan. – Bernama