Trump kurangkan tentera AS di Jerman

WASHINGTON, 16 JUN – Presiden Donald Trump berkata semalam beliau akan mengurangkan jumlah tentera Amerika Syarikat (AS) di Jerman sebanyak separuh disebabkan Berlin ‘gagal’ dalam sumbangannya kepada NATO dan melayan AS dengan ‘teruk’ dalam perniagaan.

Trump memberitahu wartawan terdapat 52,000 tentera AS ditempatkan di Jerman.

“Ia menelan kos yang amat besar untuk Amerika Syarikat,” kata beliau. “Maka kami akan mengurangkan jumlah tersebut, kami akan mengurangkannya kepada 25,000 tentera.”

Terdapat di antara 34,000 dan 35,000 tentera AS yang ditempatkan secara tetap di Jerman, menurut Pentagon, walaupun giliran unit bermakna jumlah keseluruhan boleh mencecah 50,000.

Tentera AS telah ditempatkan di negara itu sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, membentuk sebahagian besar pertahanan perikatan NATO ke atas Kesatuan Soviet semasa Perang Dingin.

Gambar fail menunjukkan tentera 1AD menghadiri acara Divisyen Perisai Pertama di Lapangan Terbang Tentera AS di Wiesbaden, Jerman. Presiden Donald Trump merancang mengurangkan jumlah tentera AS di negara itu. – AP

Kebangkitan tentera Rusia di bawah Presiden Vladimir Putin telah memberikan kepentingan kepada kehadiran tentera AS dalam tempoh dua dekad lalu, dengan negara tengah dan timur Eropah memimpin untuk memberikan tekanan terhadap pertahanan yang lebih kukuh.

Bagaimanapun, Trump berkata beliau bertindak balas terhadap bayaran yang tidak mencukupi oleh sekutu Jerman kepada NATO.

“Jerman gagal, mereka telah gagal bertahun-tahun lamanya dan mereka berhutang NATO berbilion dolar, dan mereka perlu membayarnya. Maka kami melindungi Jerman dan mereka gagal. Ia tidak masuk akal,” kata beliau.

Ahli politik Jerman meluahkan kebimbangan pada minggu lalu mengenai laporan mengatakan AS merancang mengehadkan jumlah tentera pada 25,000, yang nampaknya mengejutkan Berlin.

Pelan itu menimbulkan soalan baharu mengenai komitmen Trump terhadap perjanjian kerjasama lama dengan sekutu Eropah, dengan beberapa pemerhati bimbang tindakan tersebut mungkin menjejas keselamatan NATO. – AFP