KAHERAH, 25 Ogos – Presiden AS Donald Trump memberitahu rakan sejawatan Mesir Abdel Fattah al-Sisi bahawa beliau mahu memperkukuh hubungan dengan Kaherah, kata pejabat Sisi hari ini, beberapa hari selepas didapati Washington telah memutuskan beberapa bantuan kepada Mesir.
Mesir pada Rabu membantah satu keputusan AS untuk menangguhkan bantuan tentera dan kewangan disebabkan kebimbangan hak asasi manusia.
Dalam satu perbualan telefon dengan Sisi, Trump “mengesahkan keutuhan persahabatan di antara Mesir dan Amerika Syarikat,” kata presiden dalam satu kenyataan.
Presiden AS berkata beliau berminat untuk terus “memajukan hubungan di antara kedua-dua negara dan mengatasi sebarang halangan yang mungkin menjejas mereka,” menurut kenyataan.
Ketibaan Trump sebagai presiden pada Januari telah melihat peningkatan dalam hubungan AS dengan Mesir, bertentangan dengan pemimpin sebelumnya Barack Obama yang mengamalkan dasar lebih keras ke atas isu hak asasi manusia di negara Afrika Utara.
Obama menggantung bantuan tentera buat sementara waktu ke Mesir selepas penggulingan presiden Islam Mohamed Morsi pada Julai 2013 dan tindakan keras seterusnya ke atas penyokong Morsi.
Sisi pada Mei meluluskan satu undang-undang yang dikatakan oleh pengkritik akan mengehadkan kerja-kerja pertubuhan bukan kerajaan. – AFP