Trump ‘merajuk’, batal lawatan

WASHINGTON, 21 OGOS – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menunda lawatan berjadualnya ke Denmark selepas para pegawai Denmark menegaskan bahawa Greenland bukan untuk dijual.

Keputusan Trump itu mengesahkan minatnya untuk membeli Greenland, idea yang pada mulanya dianggap sebagai jenaka oleh sebahagian pihak, tetapi Rumah Putih kemudian menyatakan keseriusan mereka disebabkan lokasi Greenland yang strategik.

“Berdasarkan komen Perdana Menteri Mette Frederiksen, bahawa dia tidak mempunyai minat untuk mengadakan sebarang perbincangan bagi pembelian Greenland. Oleh itu saya menundakan pertemuan berjadual kami dalam dua minggu ini kepada tarikh lain,” kata Trump.

Semasa mengadakan lawatan ke Greenland, pulau terbesar di Bumi, Frederiksen menyatakan idea Trump ‘tidak masuk akal’.

“Perdana Menteri telah berjaya menyelamatkan sejumlah besar perbelanjaan dan usaha bagi kedua buah negara, AS dan Denmark dengan kenyataan tanpa selindung,” ujar Trump.

“Saya berterima kasih kepadanya dan tidak sabar untuk penjadualan semula pada masa depan!”

Perkembangan itu adalah ‘satu kejutan’, kata Lene Balleby, ketua komunikasi bagi Danish Royal House, menurut penyiar awam DR. – AFP

Donald Trump menunda lawatannya ke Denmark selepas Frederiksen menyatakan idea Trump ‘tidak masuk akal’. – AP