‘Trump minta bantuan Xi menangi pilihan raya’

WASHINGTON, 18 JUN – Donald Trump merayu bantuan daripada pemimpin China Xi Jinping untuk memenangi pilihan raya semula pada 2020, tulis bekas penasihat keselamatan negara kepada presiden AS, John Bolton dalam buku baharu, menurut petikan yang disiarkan semalam.

Bolton mendakwa dalam kritikan pedas bahawa tumpuan Trump untuk memenangi penggal kedua menjadi prinsip utama dasar luar negaranya, dan pegawai kanan sering mengecil-ngecilkan pemimpin Republikan itu atas sikap acuh tidak acuh beliau mengenai fakta asas geopolitik.

Dalam petikan yang disiarkan oleh The Washington Post, The New York Times dan The Wall Street Journal, Bolton juga mendakwa Trump berkali-kali menunjukkan kesediaan untuk mengabaikan penyalahgunaan hak asasi manusia China – paling ketara memberitahu Xi penahanan penduduk Uighur Islam ‘adalah perkara betul yang dilakukan.’ Dalam satu mesyuarat dengan Xi pada Jun lalu, Trump ‘menukar tajuk perbualan kepada pilihan raya presiden AS, secara tidak langsung menyentuh keupayaan ekonomi China dalam menjejaskan kempen berterusan, merayu Xi supaya memastikan beliau menang,’ dakwa Bolton dalam bukunya.

Bolton menulis bahawa Trump menekankan kepentingan petani AS dan bagaimana ‘pembelian kacang soya dan gandum yang meningkat oleh China’ boleh menjejaskan keputusan pilihan raya AS.

Dalam tanda-tanda kemarahan Trump berhubung memoir itu, Jabatan Keadilan memfailkan perintah kecemasan lewat semalam berusaha menghentikan penerbitan, kali kedua dalam beberapa hari ini dalam usaha untuk menyekat buku tersebut. Berkata Bolton gagal membenarkan semakan menyeluruh buku seperti yang diwajibkan, jabatan menggesa mahkamah mengambil tindakan untuk ‘mengelak ia mengancam kese-lamatan negara jika manuskrip disiarkan kepada dunia.’

Buku ‘The Room Where It Happened’ dijangka dikeluarkan Selasa depan, di tengah kempen presiden menentang calon Demokrat Biden. – AFP

Wartawan Rumah Putih CBS, Paula Reid (kanan) memegang senaskhah buku Bolton ketika beliau bertanya soalan kepada setiausaha media Rumah Putih Kayleigh McEnany di Rumah Putih, Washington, kelmarin. – AP