Trump, Obrador bertemu kali pertama

WASHINGTON, 9 JULAI – Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador mengadakan perbincangan bersama Donald Trump di Rumah Putih semalam sambil dibayangi pandemik COVID-19 dan kenyataan menjengkelkan yang dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS) itu ke atas jiran mereka.

Bercakap selepas pertemuan di Pejabat Oval, Trump menyifatkan hubungan Mexico – AS sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Hubungan antara Mexico dan AS tidak pernah seakrab seperti sekarang. Kami berdua dipilih berdasarkan ikrar untuk memerangi rasuah, mengembalikan kuasa kepada rakyat dan mengutamakan kepentingan negara,” katanya yang bertanding buat kali kedua dalam pilihan raya presiden.

Lopez Obrador mengucapkan terima kasih kepada Trump dan memberitahu rakan sejawatnya itu, beliau amat menghargai tindakan Presiden AS yang tidak pernah melayan Mexico sebagai sebuah koloni.

“Anda menghormati kami sebagai sebuah negara bebas. Kerana itu saya berada di sini, untuk menzahirkan kepada semua rakyat AS, bahawa presiden mereka melayan kami dengan baik dan hormat,” katanya.

Pemimpin Mexico terbabit turut mengucapkan terima kasih kepada Trump kerana membantu sektor perdagangan Mexico, selain membekalkan peralatan bagi merawat pesakit COVID-19. – AFP