Trump pertahankan jadual

WASHINGTON, 11 Feb – Donald Trump kelmarin menafikan kenyataan bahawa beliau menghabiskan masa ketika bertugas dengan berehat tatkala Rumah Putih sedang memburu individu yang menjadi dalang dalam membocorkan jadual presiden.

Menurut maklumat lanjut yang dikeluarkan minggu lalu oleh Axios, 60 peratus daripada tugas Trump dikategorikan sebagai ‘waktu eksekutif,’ iaitu tempoh masa untuk membuat panggilan telefon, membaca surat khabar, menggunakan Twitter dan menonton televisyen.

Cuba untuk membetulkan situasi, presiden berkata tempoh masa lapang itu sepatutnya dilihat sebagai positif dan bukan negatif.

“Apabila terma Waktu Eksekutif digunakan, saya sebenarnya sedang bekerja, bukan bersantai,” menurut Trump menerusi Twitter. “Apa yang penting adalah, saya bertugas lebih masa berbanding presiden sebelum ini.”

“Apabila saya mengambil alih jawatan sebagai presiden, negara kita tidak menentu,” menurut Trump.

Trump ketika berucap di Washington baru-baru ini. Trump menafikan kenyataan bahawa beliau menghabiskan masa ketika bertugas dengan berehat tatkala Rumah Putih memburu individu yang membocorkan jadual presiden. – AP

“Tentera yang berkurangan, peperangan yang tidak ada penghujungnya, kemungkinan peperangan dengan Korea Utara, V.A., cukai tinggi dan terlalu banyak peraturan, sempadan, imigresen dan masalah rawatan kesihatan dan banyak lagi.

“Saya tidak ada pilihan lain untuk bekerja lebih masa,” tambah presiden, yang jarang sekali mempunyai tugas rasmi sebelum 11 pagi.

Ditanya mengenai apa yang dilihat sebagai hari yang senang-lenang di pejabat untuk individu paling berpengaruh di dunia, pemangku ketua kakitangan, Mick Mulvaney turut menafikan kelmarin.

“Tujuan waktu eksekutif itu adalah bagi membolehkan presiden untuk membuat persediaan untuk mesyuarat seterusnya, mendapatkan maklum balas mengenai mesyuarat sebelumnya,” beritahu Mulvaney kepada NBC dalam rancangan ‘Meet the Press.’

“Panggilan telefon bermula jam 6:30 pagi dan berterusan sehingga jam 11 malam. Jadi saya yakin bahawa presiden Trump bekerja lebih daripada yang dicatat di kalendar,” katanya. – AFP