Trump ragui penggodaman Rusia

WASHINGTON, 1 Jan – Presiden yang baru dilantik, Donald Trump semalam sekali lagi meragui penemuan perisikan AS bahawa Rusia campur tangan dalam pilihan raya AS menerusi penggodaman komputer, satu kesimpulan yang membawa kepada sekatan AS ke atas Moscow.

“Saya hanya mahu mereka yakin, kerana ini adalah dakwaan yang sangat serius dan saya mahu mereka begitu pasti,”Trump memberitahu para pemberita di estetnya di Mar-a-Lago, Florida.

Beliau menyatakan bahawa perisikan AS telah membuat kesilapan apabila ia mengatakan Iraq memiliki senjata pemusnahan besar-besaran, alasan bagi serangan yang diketuai AS pada tahun 2003. dengan menyifatkan ini ‘bencana, dan mereka salah.”

Menurut beliau adalah ‘tidak adil’ AS menuduh Rusia menggodam jika ada keraguan.

Trump bercakap kepada wartawan semasa parti Tahun baru di Mar-a-Lago, di Palm Beach, Florida sambil diperhatikan oleh isterinya, Melania Trump. – AP
Trump bercakap kepada wartawan semasa parti Tahun baru di Mar-a-Lago, di Palm Beach, Florida sambil diperhatikan oleh isterinya, Melania Trump. – AP

“Dan saya tahu banyak tentang penggodaman. Dan penggodaman adalah perkara yang paling sukar untuk dibuktikan. Mungkin ada orang lain. Dan saya juga tahu perkara-perkara yang orang lain tidak mengetahuinya dan dengan itu mereka tidak boleh pasti tentang situasi itu,” kata Trump lagi.

Ditanya apakah yang beliau ketahui yang orang lain tidak mengetahuinya, Trump berkata “Kamu akan mengetahuinya pada hari Selasa atau Rabu.”

Trump juga diajukan pertanyaan tentang betapa pentingnya keselamatan siber pada pentadbiran beliau selepas beliau akan mengambil alih kuasa pada 20 Januari. – AFP