Trump sekat TikTok, WeChat

WASHINGTON, 7 OGOS – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam mengarahkan penyekatan dua aplikasi sosial media milik syarikat China, TikTok dan WeChat, supaya tidak lagi boleh diakses di negara itu.

Melalui perintah eksekutif Trump, arahan yang akan berkuatkuasa dalam tempoh 45 hari itu menyaksikan AS melarang sesiapa saja di bawah bidang kuasanya berurusan dengan pemilik TikTok atau WeChat.

Perintah itu secara langsung meningkatkan tekanan terhadap ByteDance, syarikat pemilik aplikasi TikTok, untuk memuktamadkan rundingan menjualnya kepada Microsoft selain menyaksikan ketegangan antara pentadbiran Trump dengan China makin serius.

Menurut perintah itu, arahan Trump yang menyasarkan syarikat berkenaan didakwa dibuat atas alasan mahu mempertahankan keselamatan kebangsaan, dasar luar dan ekonomi AS.

“TikTok secara automatik memerangkap sejumlah besar maklumat daripada penggunanya, termasuk Internet dan maklumat aktiviti rangkaian lain seperti data lokasi, pelayaran dan sejarah carian,” katanya.

Mengikut perintah itu lagi, data dari TikTok berpotensi digunakan China untuk mengesan lokasi pekerja dan kontrak persekutuan, membina koleksi dokumen individu tertentu untuk memeras ugut serta melakukan pengintipan korporat.

Aplikasi mudah alih TikTok dimuat turun sebanyak 175 juta kali di AS dan lebih satu bilion kali di seluruh dunia.

Senat AS semalam mengundi untuk menyekat TikTok daripada dimuat turun melalui telefon bimbit kakitangan kerajaan negara itu, sekali gus memperhebatkan pemeriksaan terhadap aplikasi video popular milik syarikat China itu.

TikTok diberi masa sehingga pertengahan September ini untuk diambil oleh firma AS atau dilarang terus beroperasi di AS. – AFP